Connect with us

Terkini

Kadir Jasin kritik amalan ‘trial by media’ dalam siasatan SPRM

Published

on

Foto: Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin.
  • “Trial by media”dan “trial by the public” ini berlaku apabila SPRM mengeluarkan maklumat penyiasatan kepada media, termasuk melalui sidang akhbar, sehingga tercetus gambaran bahawa orang yang disiasat itu sudah bersalah. Ia bukan sahaja mempengaruhi pendapatan umum (public opinion) malah menjadi tekanan kepada Pendakwa Raya sehingga ada kes-kes lemah dibawa ke mahkamah dan kalah.
  • “Akibatnya ramai yang teraniaya, terutamanya eksekutif Melayu. Media menyiarkan gambar mereka dipakaikan baju lokap SPRM dan digari macam “common criminals”, harta mereka dirampas, akaun bank  dibekukan dan mereka digantung atau dibuang kerja. Anak bini mereka diaibkan.
  • “Tiba-tiba, tanpa sebarang maklumat kepada media, mereka dibebaskan dan harta mereka dipulangkan. Tetapi mereka sudah malu, sudah hilang pekerjaan dan menderita trauma.” – Tokoh Wartawan Negara, Abdul Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin mengkritik amalan ‘trial by media’ dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menurutnya boleh menyebabkan individu, khususnya eksekutif Melayu, teraniaya sebelum dibuktikan bersalah di mahkamah.

Menerusi satu hantaran panjang di Facebook, Abdul Kadir berkata amalan mendedahkan maklumat siasatan kepada media termasuk melalui sidang akhbar telah mewujudkan persepsi awam bahawa individu yang disiasat sudah pun bersalah.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja mempengaruhi pendapat umum, malah memberi tekanan kepada pihak pendakwaan sehingga terdapat kes lemah dibawa ke mahkamah dan akhirnya gagal disabitkan.

“‘Trial by media’ dan ‘trial by the public’ ini berlaku apabila SPRM mengeluarkan maklumat penyiasatan kepada media, termasuk melalui sidang akhbar, sehingga tercetus gambaran bahawa orang yang disiasat itu sudah bersalah.

“Ia bukan sahaja mempengaruhi pendapat umum malah menjadi tekanan kepada Pendakwa Raya sehingga ada kes-kes lemah dibawa ke mahkamah dan kalah,” katanya.

Beliau mendakwa keadaan itu mengakibatkan ramai individu teraniaya apabila gambar mereka disiarkan media dalam pakaian lokap SPRM dan bergari seperti “penjenayah biasa”, selain berdepan pembekuan akaun bank, rampasan harta serta kehilangan pekerjaan.

“Akibatnya ramai yang teraniaya, terutamanya eksekutif Melayu. Media menyiarkan gambar mereka dipakaikan baju lokap SPRM dan digari macam ‘common criminals’.

“Harta mereka dirampas, akaun bank dibekukan dan mereka digantung atau dibuang kerja. Anak bini mereka diaibkan,” katanya lagi.

Tambah beliau, terdapat juga kes di mana individu yang dibebaskan akhirnya menerima semula harta mereka tanpa penjelasan terbuka kepada media, namun telah pun menanggung trauma serta kerosakan reputasi.

Dalam hantaran sama, Abdul Kadir turut mempersoalkan situasi melibatkan tertuduh yang telah diputuskan mempunyai kes prima facie tetapi diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA), sebelum dilantik ke jawatan tinggi dan akhirnya tidak diteruskan pendakwaan.

Beliau berkata, demi memulihkan imej SPRM dan menebus “dosa penganiayaan”, kepimpinan baharu suruhanjaya itu perlu memulakan siasatan dalaman atau membuka ruang kepada siasatan badan bebas.

“Demi memulihkan imej SPRM dan menebus dosa penganiayaan, kepimpinan barunya wajib memulakan siasatan dalaman atau, bagi lebih meyakinkan, dibuka siasatan oleh sebuah badan bebas,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengimbau prinsip kewartawanan yang dipelajarinya sejak akhir 1960-an termasuk prinsip “innocent until proven guilty” serta tanggungjawab media untuk melindungi individu yang menjadi subjek laporan agar tidak berlaku “miscarriage of justice”.

Beliau turut menyambut baik tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu membangkitkan isu penganiayaan dan ‘trial by media’.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author