Terkini
UEC ke IPTA: Dr. Anuar Ahmad usul 15 Mei tarikh ‘terkuburnya’ Dasar Pendidikan Kebangsaan
- “Bolehkah kalau saya usulkan hari ini, 15 Mei 2026 adalah tarikh rasmi terkuburnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan? Saya hanya mampu bertanya dan mengusulkan. Lagi pun, saya peduli apa kalau dasar pendidikan kebangsaan yang sudah tidak dihormati ini ‘terkubur’.
- “Biar sajalah ia terkubur. Ibarat kata orang tua, ‘daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah’. Sekurang-kurangnya tarikh ‘matinya’ akan diingati oleh generasi akan datang. Setiap 15 Mei. Sehari sebelum sambutan Hari Guru -16 Mei,” – Pensyarah Kanan UKM, Dr. Anuar Ahmad
- Beliau turut menyatakan bahawa Dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumen rasmi pendidikan negara yang membuktikan kewujudan sistem pendidikan kebangsaan dan sepatutnya dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia.
KUALA LUMPUR – Pensyarah kanan dan penyelidik bidang Sosiologi Pendidikan di Fakulti Pendidikan, UKM, Dr. Anuar Ahmad mengusulkan 15 Mei 2026 sebagai ‘tarikh rasmi terkuburnya’ Dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan susulan keputusan kerajaan membuka laluan kepada lepasan UEC ke IPTA.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau meluahkan kekecewaan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan mempertahankan dasar pendidikan negara yang selama ini menjadi asas kepada sistem pendidikan kebangsaan.
“Bolehkah kalau saya usulkan hari ini, 15 Mei 2026 adalah tarikh rasmi terkuburnya dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan? Saya hanya mampu bertanya dan mengusulkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Dokumen Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumen rasmi pendidikan negara yang membuktikan kewujudan sistem pendidikan kebangsaan dan sepatutnya dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia.
Menurut beliau, keputusan mengiktiraf UEC walaupun secara sebahagian dilihat bercanggah dengan dokumen dasar tersebut yang sebelum ini secara jelas tidak mengiktiraf sistem peperiksaan berkenaan.
“Lagi pun, saya peduli apa kalau dasar pendidikan kebangsaan yang sudah tidak dihormati ini ‘terkubur’. Biar sajalah ia terkubur. Ibarat kata orang tua, ‘daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah’,” katanya lagi.
Dalam nada sinis, beliau berkata sekurang-kurangnya tarikh “kematian” dasar tersebut akan diingati oleh generasi akan datang setiap kali menjelang sambutan Hari Guru pada 16 Mei.
“Sekurang-kurangnya tarikh ‘matinya’ akan diingati oleh generasi akan datang. Setiap 15 Mei. Sehari sebelum sambutan Hari Guru – 16 Mei,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan membuka laluan lebih luas kepada pelajar lepasan sekolah tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) untuk melanjutkan pengajian ke IPTA menerusi beberapa ketetapan baharu yang dipersetujui Jemaah Menteri.
Langkah itu mengundang pelbagai reaksi daripada ahli akademik, badan bukan kerajaan dan pertubuhan pendidikan yang melihat isu berkenaan mempunyai implikasi besar terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan serta agenda pembinaan negara bangsa.-The Merdeka Times