Connect with us

Terkini

Walau bukan pengiktirafan penuh, UEC dilihat semakin diterima – ISMA

Published

on

Foto: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Shuhaib Ar-rumy Selamat.
  • Presidennya, Shuhaib Ar-rumy Selamat menegaskan, kerajaan seharusnya memberikan fokus sepenuhnya kepada usaha memperkasa sistem pendidikan kebangsaan sebagai wadah tunggal perpaduan, bukannya mengukuhkan sistem pendidikan di luar arus Dasar Pendidikan Kebangsaan.
  • “Walaupun tidak menggunakan istilah ‘pengiktirafan penuh’, langkah ini dilihat sebagai pengiktirafan secara berperingkat terhadap UEC serta mengukuhkan sistem pendidikan di luar arus Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak kerajaan agar mengkaji semula keputusan membuka laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi mengelakkan implikasi jangka panjang terhadap asas pembinaan negara bangsa. 

Presidennya, Shuhaib Ar-rumy Selamat menegaskan, kerajaan seharusnya memberikan fokus sepenuhnya kepada usaha memperkasa sistem pendidikan kebangsaan sebagai wadah tunggal perpaduan, bukannya mengukuhkan sistem pendidikan di luar arus Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam yang membuka laluan rasmi kepada lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi program tertentu, meskipun sebelum ini kementerian tersebut memberi komitmen bahawa isu pengiktirafan UEC perlu berpaksikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Walaupun tidak menggunakan istilah ‘pengiktirafan penuh’, langkah ini dilihat sebagai pengiktirafan secara berperingkat terhadap UEC serta mengukuhkan sistem pendidikan di luar arus Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“ISMA turut berpandangan bahawa pendekatan meritokrasi dan akses inklusif yang disebut oleh KPT tidak boleh dilihat daripada sudut akademik semata-mata. Pendidikan mempunyai peranan besar dalam membina perpaduan rakyat, identiti nasional dan juga kesedaran kenegaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) membuka laluan lebih luas kepada pelajar lepasan sekolah tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) untuk melanjutkan pengajian ke IPTA menerusi beberapa ketetapan baharu yang dipersetujui Jemaah Menteri.

Shuhaib turut menyifatkan tindakan terbaharu KPT itu bercanggah dengan pendirian kementerian pada Disember 2025 yang menyatakan isu UEC tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.

Menurut beliau, pendekatan meritokrasi dan akses inklusif yang dilaungkan tidak seharusnya mengabaikan peranan besar pendidikan dalam membina kesedaran kenegaraan dan perpaduan rakyat.

“Apabila asas ini semakin dilonggarkan, negara sebenarnya sedang membuka ruang kepada perpecahan identiti dalam generasi akan datang. Pendidikan adalah benteng utama sesebuah negara untuk membentuk bahasa bersama dan semangat patriotisme,” jelasnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Shuhaib juga menyenaraikan beberapa kebimbangan utama ekoran keputusan tersebut, antaranya kedudukan dan martabat Bahasa Melayu akan menjadi semakin lemah, polarisasi antara kaum menjadi semakin melebar dan pengukuhan dualisme dalam sistem pendidikan negara yang boleh mengancam agenda pembinaan negara bangsa.

Beliau memberi amaran bahawa keputusan yang mungkin memberi keuntungan politik jangka pendek itu bakal membawa kesan besar apabila warganegara menjadi semakin terpisah antara satu sama lain dari sudut identiti, bahasa, dan kefahaman kenegaraan.

“Sejarah dunia menunjukkan negara yang lemah identiti nasional akhirnya akan menghadapi konflik sosial dan krisis kesetiaan. Justeru, kami menyeru kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan sebagai asas perpaduan dan identiti negara,” tegas beliau. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author