Terkini
RM46.67 juta ‘hangus’: MCA desak kerajaan jelaskan isu Bandar Malaysia
- Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er menegaskan, pendedahan yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini perlu dipandang serius memandangkan projek tersebut merupakan salah satu pembangunan strategik terbesar yang sepatutnya memacu ekonomi negara.
- “Rakyat berhak mengetahui Siapa yang bertanggungjawab terhadap tatakelola Bandar Malaysia ini? Bagaimana kerugian sebesar ini boleh berlaku? Dan apakah langkah yang akan dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan wang rakyat tidak terus ‘hangus’ akibat kegagalan tata kelola pentadbiran?” soalnya dalam satu kenyataan.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan kerugian berjumlah RM46.67 juta yang dikaitkan dengan tanah strategik milik negara di Bandar Malaysia.
Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er menegaskan, pendedahan yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini perlu dipandang serius memandangkan projek tersebut merupakan salah satu pembangunan strategik terbesar yang sepatutnya memacu ekonomi negara.
Beliau melahirkan rasa bimbang kerana sehingga kini kerajaan dilihat masih membisu tanpa memberikan sebarang jawapan yang meyakinkan rakyat mengenai punca kerugian tersebut serta pihak yang bertanggungjawab terhadap tata kelolanya.
“Sekiranya kerajaan terus berdiam diri, ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan tentang tahap akauntabiliti dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan projek berskala besar yang melibatkan kepentingan awam.
“Rakyat berhak mengetahui Siapa yang bertanggungjawab terhadap tatakelola Bandar Malaysia ini? Bagaimana kerugian sebesar ini boleh berlaku? Dan apakah langkah yang akan dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan wang rakyat tidak terus ‘hangus’ akibat kegagalan tata kelola pentadbiran?” soalnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan wang rakyat tidak terus hangus akibat kegagalan pentadbiran terutama ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Tegasnya, setiap sen wang awam yang disumbangkan melalui cukai mesti diurus dengan penuh amanah dan tanggungjawab kerana rakyat berhak mengetahui bagaimana dana tersebut dibelanjakan.
Beliau juga mengingatkan bahawa ketelusan bukan sekadar slogan politik, tetapi perlu dibuktikan melalui tindakan tegas agar episod ketirisan dan kelemahan tata kelola tidak lagi berulang tanpa ada pihak yang dipertanggungjawabkan.
Baru-baru ini Ka Siong mempersoalkan bagaimana sebuah tanah strategik milik negara yang dikenali sebagai Bandar Malaysia boleh disewakan untuk tempoh yang sangat panjang sebelum akhirnya dibatalkan hanya dalam tempoh sekitar setahun sehingga menyebabkan kerajaan perlu membayar pampasan RM46.67 juta kepada syarikat asing.
Beliau menegaskan bahawa ‘RM46.67 juta wang rakyat hangus begitu sahaja hanya kerana satu perjanjian ditandatangani kemudian dibatalkan tidak lama selepas itu.’Dalam pengurusan aset strategik kerajaan, khususnya melibatkan tanah bernilai tinggi di pusat bandar utama, sebarang perjanjian jangka panjang sepatutnya melalui proses ‘due diligence’ yang sangat ketat. – The Merdeka Times