Connect with us

Terkini

Bantahan UEC bukan sentimen sempit, Demi pertahan Dasar Pendidikan Negara – PEMBELA

Published

on

Foto: Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
  • Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, sebarang langkah yang membuka ruang pengiktirafan kepada sistem yang tidak bernaung secara menyeluruh di bawah falsafah pendidikan kebangsaan wajar dinilai dengan penuh cermat dan kewaspadaan.
  • “Maka adalah munasabah sekiranya prinsip kemasukannya dipelihara selaras dengan roh dan asas sistem pendidikan kebangsaan. Dalam konteks ini, negara hendaklah berhati-hati agar tidak mewujudkan keadaan yang akhirnya menghakis kewibawaan sistem nasional yang selama ini menjadi wahana utama integrasi rakyat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) tidak bersetuju dengan sebarang pendekatan yang boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam kerangka kemasukan ke ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bercakap kepada The Merdeka Times, Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, sebarang langkah yang membuka ruang pengiktirafan kepada sistem yang tidak bernaung secara menyeluruh di bawah falsafah pendidikan kebangsaan wajar dinilai dengan penuh cermat dan kewaspadaan. 

Menurutnya, kelonggaran sedemikian bukan sekadar isu teknikal kemasukan akademik, bahkan menyentuh soal keutuhan dasar negara serta arah tuju pembinaan identiti nasional pada masa hadapan.

“IPTA pula adalah institusi milik awam yang tertegak atas kerangka dasar nasional serta dibiayai oleh khazanah negara. 

“Maka adalah munasabah sekiranya prinsip kemasukannya dipelihara selaras dengan roh dan asas sistem pendidikan kebangsaan. Dalam konteks ini, negara hendaklah berhati-hati agar tidak mewujudkan keadaan yang akhirnya menghakis kewibawaan sistem nasional yang selama ini menjadi wahana utama integrasi rakyat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau mengulas laporan media semalam menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) membuka laluan lebih luas kepada pelajar lepasan sekolah tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) untuk melanjutkan pengajian ke IPTA menerusi beberapa ketetapan baharu yang dipersetujui Jemaah Menteri.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal menambah, pendirian tidak bersetuju itu bukan lahir daripada sentimen sempit atau pertimbangan bersifat polemik sebaliknya berasaskan neraca kenegaraan, falsafah pendidikan nasional serta keperluan mempertahankan keselarasan dasar awam yang menjadi tunjang kepada pembinaan negara bangsa.

Jelasnya, UEC merupakan suatu sistem peperiksaan yang berkembang di luar lingkungan arus perdana pendidikan kebangsaan sedangkan sistem pendidikan negara sejak awal dibangunkan atas cita-cita besar untuk membentuk suatu kerangka pendidikan nasional.

Kerangka pendidikan itu tambahnya, adalah bersifat menyatu, berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta dipandu oleh semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Dalam pada itu, jelasnya, beliau mendukung segala ikhtiar yang bertujuan memperkasa laluan pendidikan tinggi kepada lepasan tahfiz yang memenuhi syarat akademik serta kehendak dasar pendidikan negara.

Beliau turut menyifatkan langkah meletakkan institusi tahfiz dalam neraca yang sama dengan UEC sebagai tidak tepat memandangkan institusi tahfiz merupakan sebahagian daripada tradisi keilmuan Islam yang telah lama berakar dalam lanskap pendidikan negara serta mempunyai hubungan yang rapat dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

“Perkembangan pendidikan tahfiz pada hari ini juga memperlihatkan integrasi yang semakin baik dengan kurikulum kebangsaan dan bidang-bidang profesional. Malah, ramai lepasan tahfiz telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam disiplin kritikal seperti perundangan, perubatan, kejuruteraan dan pentadbiran awam tanpa meninggalkan asas turath dan nilai yang membentuk keperibadian mereka. 

“Oleh yang demikian, memperluaskan laluan pendidikan tinggi kepada golongan huffaz adalah suatu langkah yang bukan sahaja wajar, bahkan bertepatan dengan aspirasi pembangunan modal insan negara yang berteraskan ilmu dan akhlak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan hendaklah terus memelihara kejelasan dasar pendidikan negara, mempertahankan martabat sistem pendidikan kebangsaan serta mengelakkan sebarang pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap prinsip asas pembinaan negara bangsa.

Beliau berkata, dasar pendidikan adalah cerminan jati diri negara dan ia tidak boleh dibentuk atas pertimbangan jangka pendek atau desakan politik bersifat sementara sebaliknya hendaklah dipandu oleh hikmah kenegaraan, keluhuran Perlembagaan dan tanggungjawab mempertahankan kesatuan nasional untuk generasi mendatang.  – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author