Terkini
Ramasamy dakwa isu kuil Hindu jejas sokongan masyarakat India terhadap Anwar
- “Pemindahan paksa sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Hindu. Selepas itu, demi memuaskan hati masyarakat majoriti, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil-kuil Hindu yang dianggap haram di negara ini.
- “Kuil-kuil yang telah wujud lebih daripada 100 tahun tiba-tiba dianggap haram oleh Anwar. Bahagian paling buruk dalam tindakan Anwar terhadap kuil-kuil Hindu ialah sokongan senyap yang diberikan oleh pemimpin India yang bersifat “pak turut” dalam DAP, PKR dan MIC.
- “Isu pemindahan kuil dan arahan merobohkan kuil “haram” inilah yang menyebabkan Anwar tidak lagi disenangi dan dibenci oleh masyarakat Hindu, yang merupakan majoriti masyarakat India di negara ini.” – Pengerusi URIMAI, P. Ramasamy
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy mendakwa isu pemindahan dan perobohan kuil Hindu yang dianggap “haram” menjadi antara punca kemerosotan sokongan masyarakat India terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, tindakan kerajaan dalam menangani isu kuil Hindu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Hindu, khususnya selepas kontroversi melibatkan pemindahan sebuah kuil Hindu berusia lebih 100 tahun di Kuala Lumpur.
P. Ramasamy mendakwa pendekatan politik yang terlalu memberi keutamaan kepada kehendak masyarakat majoriti turut menyebabkan Anwar Ibrahim semakin kehilangan sokongan dalam kalangan masyarakat India.
“Sebaliknya, pemindahan paksa sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Hindu.
“Selepas itu, demi memuaskan hati masyarakat majoriti, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil-kuil Hindu yang dianggap ‘haram’ di negara ini,” dakwanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendakwa isu berkenaan menjadi titik perubahan terhadap persepsi masyarakat India dan Hindu terhadap kerajaan Perpaduan.
“Isu pemindahan kuil dan arahan merobohkan kuil ‘haram’ inilah yang menyebabkan Anwar tidak lagi disenangi dan dibenci oleh masyarakat Hindu,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, P. Ramasamy turut mengkritik beberapa pemimpin India dalam Democratic Action Party (DAP), People’s Justice Party (PKR) dan Malaysian Indian Congress (MIC) yang didakwanya gagal mempertahankan sensitiviti masyarakat Hindu dalam isu tersebut.
Beliau juga mendakwa pendekatan “appeasement politics” atau politik memenuhi tuntutan kelompok majoriti menjadi halangan terbesar untuk Anwar Ibrahim dilihat sebagai pemimpin kepada semua kaum di negara ini.
Selain isu kuil Hindu, P. Ramasamy turut membangkitkan beberapa isu lain termasuk pengiktirafan UEC, sistem matrikulasi, kemasukan bukan Melayu ke dalam perkhidmatan awam serta dakwaan kegagalan reformasi institusi yang sebelum ini dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan. -The Merdeka Times