Terkini
Hajiji dakwa AKPS berisiko hakis kuasa imigresen Sabah, Pelaksanaan ditangguh
- Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di negeri itu kerana bimbang wujud unsur penghakisan terhadap kuasa autonomi imigresen Sabah yang dijamin di bawah Malaysia Agreement 1963.
- “Kerajaan Negeri turut mengesan percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Negeri Sabah,” – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di negeri itu kerana bimbang wujud unsur penghakisan terhadap kuasa autonomi imigresen Sabah yang dijamin di bawah Malaysia Agreement 1963.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah merupakan hak istimewa yang tidak boleh dirunding dan mesti terus dipelihara.
Menurut beliau, Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah telah meneliti pelaksanaan AKPS dan mendapati terdapat elemen yang berpotensi menghakis kuasa serta hak keistimewaan imigresen negeri itu dari sudut perundangan dan pengoperasian.
“Pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung terhadap AKPS,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kuasa kerajaan negeri ketika ini hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah sebagaimana diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024.
Selain itu, kerajaan negeri turut mengesan wujud percanggahan antara Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 dan Akta Imigresen 1959/63 yang didakwa boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan penguatkuasaan di pintu masuk Sabah.
Hajiji Noor menegaskan bahawa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak merupakan antara asas penting pembentukan Malaysia menerusi Malaysia Agreement 1963 dan tidak boleh dikompromi.
“Kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah MA63 adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak,” katanya.
Susulan itu, Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan AKPS sehingga terdapat jaminan bahawa tiada sebarang penghakisan terhadap kuasa autonomi imigresen serta hak istimewa negeri.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan perlindungan kedudukan Sabah dari sudut perlembagaan terus terpelihara.-The Merdeka Times