Terkini
Kadir Jasin tegur budaya suapan maklumat, ‘trial by media’ tidak semestinya adil
- Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menegaskan, kebergantungan media kepada ‘suapan maklumat’ daripada agensi penguatkuasaan boleh melenyapkan sensitiviti kewartawanan.
- Menurut beliau, amalan ‘trial by media’ atau perbicaraan melalui laporan media tidak semestinya baik dan adil.
- “Ramai yang disiasat dan didedahkan kepada media, akhirnya teraniaya. Banyak yang tidak bersalah pun, tapi nama mereka busuk,” katanya di laman Facebook.
KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin tampil memberikan teguran pedas terhadap amalan penyaluran maklumat siasatan secara terus kepada media yang menurutnya, boleh membawa kepada penganiayaan terhadap individu yang belum terbukti bersalah.
Kadir menegaskan, kebergantungan media kepada ‘suapan maklumat’ daripada agensi penguatkuasaan boleh melenyapkan sensitiviti kewartawanan.
Menurut beliau, amalan ‘trial by media’ atau perbicaraan melalui laporan media tidak semestinya baik dan adil.
“Ramai yang disiasat dan didedahkan kepada media, akhirnya teraniaya. Banyak yang tidak bersalah pun, tapi nama mereka busuk,” katanya di laman Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas satu hantaran daripada Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd., Datuk Hussamuddin Yaacub, yang memuji sikap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kerana disifatkan sebagai ‘rajin memberi story’ kepada media.
Kadir turut menyentuh mengenai profesionalisme pengamal media masa kini dan berpendapat bahawa wartawan sepatutnya lebih proaktif dalam menjalankan penyiasatan sendiri daripada hanya menjadi penerima maklumat pasif. – The Merdeka Times