Connect with us

Terkini

‘Negara seolah-olah takut membincangkan data pendidikan Bumiputera secara jujur, terbuka’ – Dr. Anuar Ahmad

Published

on

Foto: Pensyarah kanan, Dr. Anuar Ahmad.
  • Pensyarah kanan, Dr. Anuar Ahmad menegaskan, tanpa data yang tepat dan berani untuk digunakan dalam perbincangan secara terbuka maka reformasi pendidikan kaum itu hanya akan menjadi slogan politik semata-mata.
  • Menurutnya, sesuatu masalah tidak boleh diselesaikan apabila ia gagal diukur.
  • “Malangnya, data pendidikan bumiputera sudahlah sedikit, juga terlalu berselerak. Sehingga kini, kita masih belum membina satu pangkalan data pendidikan Bumiputera yang menyeluruh dari peringkat prasekolah sehingga ke alam pekerjaan.
  • “Akibatnya, banyak dasar pendidikan Bumiputera dibina secara rambang, bersifat politik dan kadangkala tidak berpandukan realiti sebenar,” katanya.

KUALA LUMPUR – Negara seolah-olah takut membincangkan data pendidikan Bumiputera secara jujur dan terbuka, kata Pensyarah kanan, Dr. Anuar Ahmad.

Beliau menegaskan, tanpa data yang tepat dan berani untuk digunakan dalam perbincangan secara terbuka maka reformasi pendidikan kaum itu hanya akan menjadi slogan politik semata-mata.

Menurutnya, sesuatu masalah tidak boleh diselesaikan apabila ia gagal diukur.

“Malangnya, data pendidikan bumiputera sudahlah sedikit, juga terlalu berselerak. Sehingga kini, kita masih belum membina satu pangkalan data pendidikan Bumiputera yang menyeluruh dari peringkat prasekolah sehingga ke alam pekerjaan.

“Akibatnya, banyak dasar pendidikan Bumiputera dibina secara rambang, bersifat politik dan kadangkala tidak berpandukan realiti sebenar.

“Kita kononnya melaung mahu memperkasakan pendidikan dan ekonomi Bumiputera, tetapi kita sendiri tidak benar-benar tahu di mana kelemahan paling kritikal sedang berlaku di kalangan Bumiputera,” katanya di laman Facebook baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) mempersoalkan perkara tersebut sedangkan statistik umum lain seperti skor PISA, kadar keciciran nasional dan jumlah kegagalan SPM secara keseluruhan sedia didedahkan kepada umum. 

Beliau secara khusus menuntut jawapan terhadap beberapa indikator kritikal yang selama ini jarang didedahkan terutamanya mengenai jumlah sebenar murid Bumiputera yang masih gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) serta statistik kegagalan dalam mata pelajaran teras seperti Matematik dan Bahasa Inggeris di peringkat SPM. 

Anuar turut mempersoalkan statistik keciciran anak-anak Bumiputera daripada aliran sains tulen, bilangan anak-anak kaum itu yang tidak menyambung pengajian atau latihan kemahiran selepas tamat sekolah serta angka pengangguran graduan Bumiputera mengikut bidang pengajian.

“Semua ini jarang dibincangkan secara terbuka. Sedangkan Bumiputera mewakili lebih 70 peratus penduduk Malaysia dan majoriti murid bumiputera di sekolah kebangsaan.

“Jika sistem pendidikan negara sedang mengalami krisis mutu, krisis literasi dan krisis keciciran, maka kelompok yang paling besar menerima kesannya ialah Bumiputera.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia digesa menubuhkan Pusat Data Pendidikan Bumiputera Kebangsaan yang bebas, profesional, dan berintegriti bagi mengumpulkan data lengkap merangkumi literasi, numerasi, serta keciciran pendidikan. 

Pusat itu jelasnya, berperanan penting dalam memantau pencapaian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain mengukur kemiskinan pembelajaran, akses ke universiti, pengangguran graduan, dan mobiliti sosial Bumiputera mengikut pecahan negeri, daerah, serta latar sosioekonomi secara terperinci. 

Tegas beliau, penubuhan pusat data tersebut bukan bertujuan untuk mencetuskan sentimen perkauman atau menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya ia merupakan instrumen kritikal bagi memastikan setiap dasar pendidikan digubal secara tepat, bersasar dan berpaksikan realiti sebenar di lapangan. “Kerana sejarah telah mengajar kita satu perkara yang sangat penting, jurang pendidikan dan jurang ekonomi yang terlalu besar boleh membawa kesan buruk kepada kestabilan negara,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author