Terkini
Eksport pasir Sungai Pahang dibimbangi musnahkan ekosistem – Pakar UKM
- Walaupun usaha tersebut dilihat sebagai inisiatif menambah hasil negeri dan mengurangkan risiko banjir, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari UKM, Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer memberi amaran mengenai implikasi negatif yang bakal timbul.
- Beliau menegaskan, gangguan terhadap sistem sungai bagi tujuan eksport boleh mengakibatkan kerosakan kekal kepada ekologi kawasan sekitar.
- ”Implikasi utamanya adalah kemusnahan alam sekitar dan ekosistem setempat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kesan jangka panjang aktiviti tersebut.
KUALA LUMPUR – Aktiviti eksport pasir sungai di Pahang dikhuatiri tidak mampu memberikan pulangan ekonomi seperti yang diharapkan selain berisiko membawa kemusnahan besar kepada alam sekitar dan ekosistem setempat.
Walaupun usaha tersebut dilihat sebagai inisiatif menambah hasil negeri dan mengurangkan risiko banjir, Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer memberi amaran mengenai implikasi negatif yang bakal timbul.
Beliau menegaskan, gangguan terhadap sistem sungai bagi tujuan eksport boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekologi kawasan sekitar.
”Implikasi utamanya adalah kemusnahan alam sekitar dan ekosistem setempat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kesan jangka panjang aktiviti tersebut.
Media semalam melaporkan, Kerajaan Pahang mengharapkan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kelulusan eksport pasir sungai bagi meningkatkan kutipan hasil negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana pulangan mencecah RM500 juta.
Selain faktor alam sekitar, Dr. Shahidah turut memaklumkan bahawa kebanyakan material yang mencetekkan sungai berkemungkinan besar tidak mempunyai nilai komersial untuk dieksport.
Menurut beliau, pencetekan drastik yang berlaku berpunca daripada bebanan sedimen halus seperti tanah lodak dan lumpur yang datang dari kawasan hulu akibat hakisan besar-besaran.
“Jika mendapan lodak dan lumpur ini yang wujud, ia pada dasarnya tiada nilai ekonomi kerana tidak mengandungi pasir silika atau mineral kuarza yang berekonomi tinggi.
”Bahan halus ini mudah terangkut secara ampaian di dalam air dan mendap pada kadar yang melebihi proses pemendapan normal,” jelas beliau.- The Merdeka Times