Connect with us

Terkini

MACSA bimbang pendekatan ‘equality totok’ KOMAS cetus konflik kaum, agama

Published

on

Foto: Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA), Lukman Sheriff Alias.
  • Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA), Lukman Sheriff Alias memberi peringatan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional berisiko menjadi medan perbalahan ideologi sekiranya konsep keharmonian negara dipandu atas asas “equality” atau kesamarataan mutlak tanpa mengambil kira kerangka Perlembagaan Persekutuan.
  • Beliau memaklumkan bahawa pada awalnya terbuka untuk mempertimbangkan cadangan kementerian itu sebagai platform mediasi dan dialog masyarakat, namun mula berwaspada selepas mendengar pembentangan wakil Pusat KOMAS berhubung kerangka suruhanjaya yang dicadangkan.
  • “Kita perlu berpaksikan perlembagaan kerana ini hasil tolak ansur kita/ social construct kita. Keharmonian kita berasaskan nilai keperlembagaan. Kita boleh mengubahnya tetapi melalui cara tolak ansur lagi. Jadi kalau keharmonian berasaskan equality totok dan tiada diskriminasi, suruhanjaya akan menjadi tempat perbalahan dan bukan keharmonian. Perlembagaan kita punyai banyak pengecualian termasuklah diskriminasi terhadap islam dan melayu. Ini yang ramai tak sedar.” – Pengerusi MACSA,  Lukman Sheriff Alias

KUALA LUMPUR – Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA), Lukman Sheriff Alias memberi peringatan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional berisiko menjadi medan perbalahan ideologi sekiranya konsep keharmonian negara dipandu atas asas “equality” atau kesamarataan mutlak tanpa mengambil kira kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pendekatan berasaskan kesamarataan total dan penolakan diskriminasi secara mutlak tidak sesuai diaplikasikan dalam konteks Malaysia yang terbina atas asas kompromi sosial serta struktur perlembagaan sedia ada.

“Kalau keharmonian dipandu asas equality, perbalahanlah akan berlaku. Seperti yang berlaku satu dunia, terdapat pertembungan ideologi antara woke dan konservatif. Samalah di sini.

“Suruhanjaya yang dicadangkan jangan ambil posisi ideological. Lebih baik mereka sediakan platform terbuka supaya kita dapat berbincang dan bersuara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Lukman berkata demikian ketika mengulas penglibatannya dalam sesi libat urus anjuran Kementerian Perpaduan Negara berhubung cadangan penubuhan suruhanjaya harmoni.

Beliau memaklumkan bahawa pada awalnya terbuka untuk mempertimbangkan cadangan kementerian itu sebagai platform mediasi dan dialog masyarakat, namun mula berwaspada selepas mendengar pembentangan wakil Pusat KOMAS berhubung kerangka suruhanjaya yang dicadangkan.

Pusat KOMAS merupakan sebuah pertubuhan masyarakat sivil yang aktif dalam isu hak asasi manusia, demokrasi dan anti-diskriminasi di Malaysia.

Menurutnya, cadangan yang menekankan prinsip equality dan penolakan diskriminasi secara menyeluruh berpotensi mencetuskan konflik kerana Malaysia mempunyai pelbagai pengecualian perlembagaan yang lahir daripada proses tolak ansur antara kaum dan agama.

Beliau memberi contoh bahawa terdapat peruntukan undang-undang tertentu yang berbeza antara orang Islam dan bukan Islam, termasuk dalam isu berkaitan syariah, yang menurutnya merupakan sebahagian daripada struktur perlembagaan negara.

“Perlembagaan kita punyai banyak pengecualian termasuklah diskriminasi terhadap Islam dan Melayu. Ini yang ramai tak sedar.

“Misalnya kalau berjudi orang Islam boleh didenda atau dimasukkan penjara tetapi bukan Islam tidak boleh. Ini diskriminasi dan bukan equality. Tetapi rata-rata umat Islam mahu mereka tertakluk kepada syariah,” katanya.

Tambah beliau, cubaan mencabar peruntukan syariah atas nama equality boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat dan menggugat cara hidup umat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Lukman menegaskan beliau tetap menyambut baik sesi libat urus berkenaan kerana membuka ruang pertukaran pandangan antara pelbagai pihak, namun menekankan keperluan garis panduan perbincangan yang jelas bagi memastikan wacana awam berlangsung secara matang dan beradab.

Beliau turut mendakwa suasana perdebatan dalam masyarakat kini semakin terhad akibat budaya “censorship” di media sosial, sekali gus menyebabkan banyak isu sensitif gagal dibincangkan secara terbuka.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author