Terkini
Zionis terus curi tanah Palestin, hanya 1 peratus milik Palestin di Baitulmaqdis Timur -Laporan
- Laporan diterbitkan badan perancang hak asasi Israel, Bimkom, itu mendakwa sebahagian besar baki tanah di kawasan berkenaan kini dikuasai institusi negara haram Israel, badan berkaitan penempatan haram Yahudi serta pemilik persendirian Yahudi.
- Laporan itu turut mendakwa banyak kawasan yang selesai didaftarkan sebenarnya mengandungi rumah dan bangunan kediaman milik penduduk Palestin, namun hak milik direkodkan atas nama institusi negara Israel atau entiti berkaitan penempatan Yahudi.
BAITULMAQDIS – Satu laporan baharu mendakwa dasar tanah dan perumahan Israel di Baitulmaqdis Timur semakin mempercepatkan rompakan tanah Palestin secara sistematik apabila hanya satu peratus tanah yang didaftarkan menerusi proses penempatan hak milik baharu direkodkan atas nama pemilik Palestin.
Laporan diterbitkan badan perancang hak asasi Israel, Bimkom, itu mendakwa sebahagian besar baki tanah di kawasan berkenaan kini dikuasai institusi negara haram Israel, badan berkaitan penempatan haram Yahudi serta pemilik persendirian Yahudi.
Menurut laporan tersebut, keadaan itu dilihat memperkukuh dakwaan bahawa Israel menggunakan mekanisme birokrasi dan perundangan bagi memperluas penempatan haram Yahudi serta mengubah komposisi demografi di Baitulmaqdis Timur yang dijajah.
“Palestin menerima hanya satu peratus daripada keseluruhan tanah yang didaftarkan,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan memfokuskan proses Settlement of Land Title (SOLT) yang disambung semula Israel pada 2018 selepas dibekukan hampir lima dekad sejak pendudukan Baitulmaqdis Timur pada 1967.
Walaupun pihak berkuasa Israel sebelum ini mendakwa langkah tersebut bertujuan mengurangkan jurang sosioekonomi di bandar berkenaan, laporan itu menyifatkan proses tersebut sebagai alat untuk merampas tanah dan mempercepat peluasan penempatan Yahudi.
Sejak proses itu disambung semula, pihak berkuasa Israel dilaporkan memulakan proses pendaftaran membabitkan hampir 9,000 dunam tanah, bersamaan kira-kira 12 peratus kawasan Baitulmaqdis Timur.
Menjelang penghujung 2025, kira-kira 2,300 dunam telah selesai didaftarkan, dengan 82 peratus daripadanya direkodkan di bawah institusi negara Israel dan badan berkaitan termasuk Perbandaran Baitulmaqdis, Jewish National Fund serta Custodian of Absentee Property.
Selain itu, sembilan peratus lagi didaftarkan sebagai pemilikan tidak lengkap di bawah kuasa General Custodian yang menurut laporan tersebut berpotensi dipindahkan kepada pemilikan persendirian Israel pada masa depan.
Empat peratus lagi diserahkan terus kepada individu persendirian atau syarikat komersial Israel yang didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti penempatan Yahudi di Baitulmaqdis Timur, manakala gereja menerima empat peratus.
Laporan itu turut mendakwa banyak kawasan yang selesai didaftarkan sebenarnya mengandungi rumah dan bangunan kediaman milik penduduk Palestin, namun hak milik direkodkan atas nama institusi negara Israel atau entiti berkaitan penempatan Yahudi.
Trend itu disifatkan laporan berkenaan sebagai “pengambilan tanah dari bawah kaki penduduk.”
Dalam aspek perumahan pula, laporan sama menyatakan rakyat Palestin membentuk kira-kira 40 peratus populasi Baitulmaqdis Timur, namun hanya 26 peratus unit kediaman di bandar itu diperuntukkan kepada kawasan kejiranan Palestin.
Pada 2025, pihak berkuasa Israel dilaporkan meluluskan hanya 640 unit perumahan untuk penduduk Palestin di Baitulmaqdis berbanding hampir 8,900 unit untuk populasi Yahudi di seluruh bandar tersebut termasuk 2,500 unit melepasi Garisan Hijau.
Ini bermakna penduduk Palestin hanya menerima sekitar tujuh peratus daripada keseluruhan unit perumahan yang diluluskan walaupun membentuk hampir 40 peratus populasi bandar itu.
Laporan itu turut mendakwa syarat pengesahan pemilikan tanah yang diperketatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi penghalang besar kepada permohonan pembinaan dan pelan pembangunan penduduk Palestin.
Menurut laporan berkenaan, pembekuan proses perancangan pembangunan itu turut memperlahankan pembinaan penempatan Palestin di Baitulmaqdis Timur ketika kes perobohan rumah dan perobohan sendiri oleh pemilik semakin meningkat.-The Merdeka Times