Connect with us

Terkini

‘Serbuan ke atas wartawan isu Turap siasatan atau tekanan? Kerajaan kena telus.’ – Pemuda MCA

Published

on

Foto: Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan.
  • Tindakan pihak berkuasa menyerbu kediaman wartawan kanan Malaysiakini, B. Nantha Kumar, berhubung laporan mengenai sistem pengambilan pekerja asing digital dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan media serta ketelusan kerajaan.
  • “Tindakan sebegini mesti diteliti dengan berhati-hati kerana ia menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar sebahagian daripada siasatan yang wajar atau cubaan untuk memberi tekanan dan mengintimidasi media.” – Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak berkuasa menyerbu kediaman wartawan kanan Malaysiakini, B. Nantha Kumar, berhubung laporan mengenai sistem pengambilan pekerja asing digital dikenali sebagai Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan media serta ketelusan kerajaan.

Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, tindakan tersebut menimbulkan persoalan terhadap tujuan sebenar siasatan.

“Tindakan sebegini mesti diteliti dengan berhati-hati kerana ia menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar sebahagian daripada siasatan yang wajar atau cubaan untuk memberi tekanan dan mengintimidasi media.

“Apabila tindakan seperti ini berlaku, ia wajar dipersoalkan dari segi ketelusan dan keadilan pelaksanaannya.” jelasnya.

Menurut beliau, laporan mengenai Turap, khususnya artikel oleh Nantha Kumar berkaitan cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk mengguna pakai sistem digital dibangunkan oleh Bestinet, telah membangkitkan kepentingan awam yang ketara.

“Setakat ini, tiada petunjuk jelas bahawa laporan tersebut telah dibuktikan palsu, yang menjadikan tindakan penguatkuasaan terhadap wartawan semakin dipersoalkan.

“Ini menunjukkan bahawa isu yang dibangkitkan adalah sah dan memerlukan penjelasan, bukannya tindakan terhadap pelapor,” katanya.

Dalam perkembangan sama, 10 Ahli Parlimen PKR turut mengeluarkan kenyataan bersama menentang cadangan pelaksanaan Turap, dengan alasan wujud pertindihan sistem sedia ada dan yang bakal diperkenalkan kerajaan.

Mengulas perkara itu, Mike Chong berkata, keadaan itu menunjukkan isu ini bukan terpencil, tetapi telah menarik perhatian lebih luas dan kebimbangan yang sah.

Sebelum ini, Nantha Kumar dilaporkan dipanggil memberi keterangan pada 1 April di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat tanpa kebenaran serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

Pengasas bersama dan pengarah Malaysiakini, Premesh Chandran, turut dirakam keterangan sebelum serbuan dilakukan pada 27 April.

“Wartawan yang melaporkan perkara berkepentingan awam tidak seharusnya dikenakan tindakan yang tidak seimbang atau bersifat mengintimidasi. Media sebagai kuasa keempat memainkan peranan penting dalam memastikan akauntabiliti kerajaan dan tidak seharusnya ditekan,” katanya.

Mike Chong turut menggesa kerajaan supaya bertindak secara terbuka dan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan bagi mengelakkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Kerajaan yang menjunjung ketelusan sepatutnya memberi maklum balas secara konstruktif dengan menjelaskan atau menangani isu yang dibangkitkan, bukan dilihat menyasarkan pihak yang melaporkannya,” katanya.

Sehubungan itu, MCA Youth menggesa agar tindakan penguatkuasaan kekal berkadar serta memberi keutamaan kepada penjelasan isu Turap supaya kebenaran dapat difahami oleh orang ramai.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Nantha Kumar dipanggil pihak berkuasa. Pada Ogos 2024, beliau bersama dua wartawan lain disoal siasat berkaitan laporan melibatkan perkembangan di Bukit Aman.

Pada tahun 2025 pula beliau disiasat  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan pembayaran RM20,000 berkaitan laporan mengenai sindiket pemerdagangan pekerja migran.  – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author