Terkini
Normalisasi LGBT guna naratif empati, kebebasan diri di media sosial sangat mudah pengaruhi orang muda
- Pakar psikologi dari UPSI, Dr. Fauziah Hanim Abd Jalal berkata, platform media sosial mempunyai keupayaan sangat luar biasa dalam membentuk persepsi dan pemikiran masyarakat melalui naratif bersifat emosional.
- Beliau menjelaskan bahawa kandungan yang menyentuh agenda tertentu boleh mempengaruhi masyarakat melalui mekanisme normalisasi.
- “Apabila sesuatu kandungan dipaparkan secara konsisten menerusi pendedahan berulang (repeated exposure), ia boleh dilihat sebagai perkara ‘biasa’ walaupun pada asalnya ia bertentangan nilai murni atau pegangan agama dalam masyarakat,” jelas beliau.
KUALA LUMPUR – Beberapa pakar psikologi melahirkan kebimbangan terhadap golongan muda yang mungkin mudah tertarik dengan naratif empati atau kebebasan diri yang dipaparkan di media sosial termasuk membabitkan dakyah dan ideologi yang cuba memesongkan kefahaman masyarakat.
Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Hanim Abd Jalal berkata, platform media sosial mempunyai keupayaan yang sangat luar biasa dalam membentuk persepsi dan pemikiran masyarakat melalui naratif yang bersifat emosional.
Beliau menjelaskan bahawa kandungan yang menyentuh agenda tertentu boleh mempengaruhi masyarakat melalui mekanisme normalisasi.
“Apabila sesuatu kandungan dipaparkan secara konsisten menerusi pendedahan berulang (repeated exposure), ia boleh mula dilihat sebagai satu perkara yang ‘biasa’ walaupun pada asalnya ia bertentangan dengan nilai murni atau pegangan agama dalam masyarakat,” jelas beliau ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau mengulas sebuah video seorang individu yang mengaku sebagai ‘sarjana queer Muslim’ yang mencetuskan kontroversi apabila menyeru umat Islam untuk menilai semula atau ‘mengkontekstualisasikan’ pemahaman terhadap konsep jantina dan seksualiti sepertimana dilakukan terhadap konsep jihad.
Menurut Dr. Fauziah lagi, algoritma media sosial turut memainkan peranan besar dengan mengukuhkan kepercayaan pengguna melalui sistem echo chamber, yang memaparkan kandungan serupa secara berterusan tanpa memberikan ruang perbincangan yang seimbang.
“Cabaran utama hari ini bukan sekadar pada individu yang menghasilkan kandungan tersebut, tetapi pada bagaimana masyarakat kita menapis, memahami, dan menilai maklumat digital.
“Tanpa literasi digital yang kuat, masyarakat mudah menerima sesuatu mesej tanpa meneliti konteks budaya, agama, dan norma tempatan dengan mendalam,” tambahnya.
Sebagai langkah mendepani dakyah dan ideologi yang cuba memesongkan kefahaman masyarakat, beliau menyarankan agar pendekatan berasaskan pengukuhan pemikiran kritikal dan literasi media diutamakan.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan ibu bapa, institusi pendidikan, serta dialog terbuka yang berpaksikan nilai dan kefahaman sebenar bagi membendung pengaruh kandungan yang mengelirukan di alam maya. – The Merdeka Times