Terkini
MAPIM bangkit isu sisa radioaktif Lynas, Desak tindakan segera
- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melahirkan kebimbangan serius terhadap pengurusan residu water leach purification (WLP) dan produk sampingan berbahaya hasil daripada operasi berterusan kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas.
- “Malaysia tidak seharusnya menjadi depoh simpanan sisa berbahaya jangka panjang bagi kepentingan industri asing,” – Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid
- Menurut beliau, adalah menjadi prinsip asas bahawa sesebuah negara tidak seharusnya menanggung beban alam sekitar atau kesihatan yang tidak seimbang demi keuntungan industri asing, dan sebarang kerjasama ekonomi mestilah berpaksikan kepada keadilan, keselamatan, serta tanggungjawab ekologi.
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melahirkan kebimbangan serius terhadap pengurusan residu water leach purification (WLP) dan produk sampingan berbahaya hasil daripada operasi berterusan kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas.
Isu sisa radioaktif ini tegas pertubuhan tersebut, kekal menjadi keresahan utama dalam kalangan masyarakat sivil, pakar alam sekitar serta komuniti terjejas yang mana, persoalan terus timbul mengenai risiko pendedahan jangka panjang, terutama terhadap komuniti sekitar, zon pertanian dan generasi akan datang.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, sebagai sebuah syarikat korporat berkaitan Australia, Lynas memikul tanggungjawab etika dan antarabangsa yang besar memandangkan operasi mereka dijalankan di Malaysia.
“Malaysia tidak seharusnya menjadi depoh simpanan sisa berbahaya jangka panjang bagi kepentingan industri asing,” katanya dalam satu memorandum yang dihantar ke Kerajaan Australia hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azmi turut mendesak Kerajaan Australia untuk memastikan Lynas mematuhi sepenuhnya piawaian antarabangsa tertinggi bagi keselamatan alam sekitar dan radiasi.
Beliau menegaskan, Australia perlu mengambil tanggungjawab bersama terhadap sisa yang dihasilkan oleh operasi yang mempunyai kaitan dengan negara mereka, selain memberi komitmen terhadap pemantauan alam sekitar yang telus serta bebas.
“Ini termasuklah sokongan terhadap usaha penghantaran semula sisa berbahaya ke negara asal atau memastikan pengurusan jangka panjang yang benar-benar terjamin, sambil menghormati keresahan rakyat Malaysia dengan mengutamakan keselamatan manusia mengatasi keuntungan semata-mata.
Dari sudut pendirian dasar pula, MAPIM menyeru agar satu semakan menyeluruh dilakukan ke atas semua operasi Lynas dan mendesak pendedahan strategi pengurusan sisa secara telus kepada umum.
“Selain itu, ia memperkukuh mekanisme akauntabiliti bilateral antara Malaysia dan Australia, termasuk melibatkan pemantauan antarabangsa sekiranya keadaan memerlukan,” ujarnya.
Menurut beliau, adalah menjadi prinsip asas bahawa sesebuah negara tidak seharusnya menanggung beban alam sekitar atau kesihatan yang tidak seimbang demi keuntungan industri asing, dan sebarang kerjasama ekonomi mestilah berpaksikan kepada keadilan, keselamatan, serta tanggungjawab ekologi.
“MAPIM berdiri teguh dengan pendirian bahawa pembangunan tidak sekali-kali boleh mengorbankan maruah manusia, keselamatan persekitaran, mahupun kedaulatan negara.
“Justeru, MAPIM menyeru Kerajaan Australia, pihak berkuasa Malaysia, dan badan kawal selia antarabangsa untuk bertindak secara bertanggungjawab dan segera. Tindakan bersepadu ini amat kritikal bagi memastikan operasi Lynas tidak terus menggadaikan masa depan negara serta kesejahteraan ekosistem Malaysia,” katanya. – The Merdeka Times