Terkini
Rakyat Taiwan bantah bawa masuk pekerja India, Bimbang jenayah seksual
- Kementerian Buruh Taiwan bagaimanapun mempertahankan rancangan kerajaan untuk membawa masuk pekerja dari India, dengan menegaskan keselamatan awam kekal stabil berdasarkan pengalaman pengambilan pekerja asing sebelum ini.
- Menurut Menteri Buruh, Hung Sun-han, Taiwan dan India telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Februari 2024 bagi menangani kekurangan tenaga kerja di negara itu.
- Rancangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.
- Satu petisyen dilancarkan di platform penyertaan dasar awam Majlis Pembangunan Negara, menggesa agar pelaksanaan pelan tersebut dihentikan.
TAIPEI – Kementerian Buruh Taiwan mempertahankan rancangan kerajaan untuk membawa masuk pekerja dari India, dengan menegaskan bahawa keselamatan awam kekal stabil berdasarkan pengalaman pengambilan pekerja asing sebelum ini.
Menteri Buruh, Hung Sun-han berkata pada 9 April bahawa kumpulan pertama pekerja dari India dijangka tiba seawal hujung tahun ini.
Menurut beliau, Taiwan dan India telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Februari 2024 bagi menangani kekurangan tenaga kerja di negara itu. MoU tersebut dihantar ke Yuan Legislatif untuk semakan pada pertengahan 2024 dan menerima sokongan merentas parti, sekali gus membolehkan kementerian meneruskan rundingan lanjut dengan India.
Bagaimanapun, rancangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam. Satu petisyen dilancarkan di platform penyertaan dasar awam Majlis Pembangunan Negara, menggesa agar pelaksanaan pelan tersebut dihentikan.
Petisyen itu turut merujuk kebimbangan segelintir pihak mengenai risiko jenayah seksual yang didakwa mungkin meningkat dengan kemasukan pekerja dari India. Selain itu, terdapat juga pandangan bahawa Taiwan sepatutnya menyelesaikan isu pekerja migran tanpa dokumen terlebih dahulu sebelum memperluaskan sumber tenaga kerja asing.
Data terkini Kementerian Buruh menunjukkan bahawa setakat akhir Mac, terdapat kira-kira 873,000 pekerja migran di Taiwan. Pekerja dari Indonesia merupakan kumpulan terbesar iaitu 37.3 peratus, diikuti Vietnam sebanyak 33.7 peratus.
Dalam sektor pembuatan, kira-kira 40 peratus pekerja migran adalah dari Vietnam, manakala dalam sektor kebajikan sosial seperti penjagaan domestik, sehingga 70 peratus terdiri daripada pekerja Indonesia.
Kementerian itu menjelaskan bahawa trend penuaan penduduk dan kadar kelahiran yang semakin menurun menyebabkan krisis kekurangan tenaga kerja dijangka terus meningkat setiap tahun.
Berbanding negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura yang mempunyai pekerja migran dari lebih 10 negara sumber, Taiwan ketika ini hanya bergantung kepada empat negara iaitu Thailand, Filipina, Vietnam dan Indonesia.
Menurut kementerian, sebarang gangguan sementara daripada negara sumber sedia ada berpotensi mencetuskan “krisis keselamatan negara dari sudut tenaga kerja” kepada industri dan sistem penjagaan negara itu.
Sehubungan itu, peluasan sumber tenaga kerja asing bertujuan memberi lebih banyak pilihan kepada majikan, namun keputusan untuk memilih negara asal pekerja masih terletak pada majikan masing-masing.
Tambah kementerian, proses pengambilan tetap mengutamakan rakyat tempatan terlebih dahulu, di mana majikan perlu cuba mengisi kekosongan dengan pekerja tempatan sebelum memohon tenaga kerja asing.
Pekerja migran juga hanya digunakan bagi mengisi kekosongan dalam pekerjaan yang bersifat berat, kotor dan berisiko tinggi seperti dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian, tanpa membuka sektor baharu kepada mereka.
Kerajaan merancang untuk memulakan projek perintis berskala kecil melibatkan kira-kira 1,000 pekerja dari India, dengan peluasan lanjut bergantung kepada keberkesanan pelaksanaannya.
Kementerian Buruh turut menegaskan bahawa kebimbangan mengenai peningkatan jenayah seksual atau beban terhadap sistem insurans buruh dan kesihatan adalah tidak berasas.
Pengalaman negara seperti Jepun dan Singapura menunjukkan bahawa keselamatan awam tidak terjejas selepas pengambilan pekerja dari India. Malah, satu tinjauan di Jepun meletakkan pekerja India sebagai kumpulan ketiga paling diterima dalam kalangan tenaga kerja asing.
Semua pekerja yang direkrut diwajibkan mengemukakan sijil kelakuan baik daripada kerajaan India serta melepasi proses saringan ketat oleh pihak berkuasa Taiwan.
Kementerian itu juga menegaskan bahawa pekerja migran merupakan penyumbang bersih kepada sistem insurans kerana kebanyakan mereka masih muda, tempoh tinggal yang sementara, jarang menggunakan perkhidmatan kesihatan dan pulang ke negara asal sebelum layak menerima pencen.-The Merdeka Times