Connect with us

Terkini

Dari krisis adat ke krisis politik, PH-BN kini diuji?

Published

on

Foto: Pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa (Gambar kecil kiri), Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr Mazlan Ali (Gambar kecil tengah), dan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan (Gambar kecil kanan).
  • Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan, tindakan UMNO menarik sokongan adalah amat mengejutkan dan dikhuatiri bakal menjejaskan hubungan Pakatan Harapan (PH) dan BN di peringkat Pusat, selain mencetuskan kesan domino ke atas negeri-negeri lain.
  • Walau bagaimanapun, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, krisis di Negeri Sembilan ini tidak akan menular ke peringkat nasional memandangkan ia berlaku atas soal adat dan bukan politik.
  • Pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, tindakan menarik sokongan itu berkemungkinan meretakkan kerjasama antara PH dan BN, terutamanya jika keputusan tersebut disalah faham atau dipolitikkan.

KUALA LUMPUR – Keputusan mengejut Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mengundang pandangan berbeza daripada penganalisis politik berhubung masa depan dinamika hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan. 

Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan, tindakan UMNO itu amat mengejutkan dan dikhuatiri bakal menjejaskan hubungan Pakatan Harapan (PH) dan BN di peringkat Pusat, selain mencetuskan ‘kesan domino’ ke atas negeri-negeri lain. 

“Saya berpendapat bahawa krisis politik yang melanda Negeri Sembilan ini sememangnya tidak dijangka sama sekali. Jika diteliti dalam konteks pentadbiran bersama antara PH dan BN, tidak kelihatan sebarang polemik atau kekhilafan yang ketara berlaku.

“Namun, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar amat mengejutkan dan dikhuatiri bakal menjejaskan hubungan PH-BN di peringkat Persekutuan, selain mencetuskan kesan domino ke atas negeri-negeri lain. Implikasi ini pasti akan membentuk persepsi yang membuka ruang kepada konsep ‘Perpaduan Ummah’ yang sering dilaungkan oleh penyokong Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

UMNO dan BN hari ini mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Aminuddin, susulan krisis melibatkan sistem adat Perpatih dan kerangka perlembagaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya bersama kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN melahirkan rasa dukacita serta kecewa terhadap krisis yang berlaku, yang disifatkan berpotensi menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, semua ADUN hadir kecuali ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan. Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang turut memaklumkan bahawa barisan EXCO UMNO/BN tidak dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan di peringkat negeri, sebaliknya hanya mengetahui isu tersebut selepas ia menjadi polemik umum.

Ditanya berhubung negeri mana yang akan terkesan daripada kesan domino itu, Ariff Aizuddin berpendapat,  ia berkemungkinan melibatkan negeri-negeri di wilayah selatan seperti Melaka dan Johor.

Dalam situasi seumpama itu, campur tangan pemimpin tertinggi pada saat akhir amatlah kritikal kerana mereka memegang ‘kunci’ untuk meleraikan polemik tersebut tambahan pula tiada keperluan mendesak untuk menjatuhkan pentadbiran sedia ada pada masa ini. 

“Adalah lebih wajar sekiranya sebarang proses pertukaran kepimpinan dilaksanakan mengikut lunas demokrasi melalui pilihan raya yang dijadualkan beberapa tahun lagi,” katanya,

Sementara itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, krisis di Negeri Sembilan ini tidak akan menular ke peringkat nasional memandangkan ia berlaku atas soal adat dan bukan politik.

Beliau berkata, apa yang berlaku di negeri tersebut adalah lebih bersifat sebagai permasalahan dalaman bukan masalah politik antara UMNO dan juga PH.

“Jadi, masih jika benar pun UMNO sudah tidak gembira dengan Aminuddin sebagai Menteri Besar, masih ada alternatif yang lain iaitu mencadangkan calon yang lain menggantikan Aminuddin, mungkin calon Menteri Besar yang baru. 

“Sebab ini bukan masalah UMNO dengan PH, ini masalah Aminuddin secara peribadi kerana dianggap berkait dengan isu adat,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, pemimpin-pemimpin di Negeri Sembilan tidak perlu bertindak ‘lebih-lebih’ selagi Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum membuat sebarang kenyataan, 

Kata beliau, sepatutnya perkara tersebut dirunding terlebih dahulu bersama kepimpinan UMNO dan PH di peringkat pusat.

Beliau juga memberitahu bahawa sekiranya Dewan Undangan Negeri dibubarkan susulan krisis berkenan, diramal akan berlaku pertembungan tiga penjuru yang masih memberi kelebihan kepada PH.

“Kalau tiga penjuru itu, PH masih ada peluang untuk menang. Sekurang-kurangnya mempunyai kerusi yang terbanyak di Negeri Sembilan.

“BN mungkin akan menang banyak kerusi. Kalau BN bergabung dengan PN, mungkin mereka menang lebih besar, tetapi adakah BN sanggup untuk bekerjasama dengan PN yang selama ini mereka telah tolak?” soalnya.

Dalam pada itu, Pensyarah kanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, tindakan menarik sokongan itu berkemungkinan meretakkan kerjasama antara PH dan BN, terutamanya jika keputusan tersebut disalah faham atau dipolitikkan. 

Menurut beliau, perpecahan tersebut boleh menyebabkan ketidakpastian dalam kerjasama perpaduan yang dibentuk di peringkat negeri, yang mungkin memberi kesan kepada kerajaan di peringkat Pusat.

“Perubahan sokongan politik boleh mempengaruhi keseluruhan kestabilan gabungan kerajaan dan perpaduan parti. Jika tidak ditangani dengan berhati-hati, ia berpotensi memberi kesan kepada masa depan politik negeri dan negara,” katanya lagi.

Ditanya berhubung langkah untuk menyelesaikan krisis di Negeri Sembilan tersebut, beliau berkata, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil antaranya mengadakan perbincangan untuk melantik menteri besar yang baharu dengan sokongan PKR dan BN, seperti berlaku di Perlis sebelum ini membabitkan peralihan menteri besar tetapi kerjasama PH-BN tetap diteruskan. 

“Di Perlis berlaku perubahan, tapi kerjasama PAS dan Bersatu masih (berjalan). Begitu juga di Negeri Sembilan, jika menteri besar baru dilantik dalam kalangan PH-BN, maka tiada masalah besar.

Namun, tambahnya, sekiranya konflik sukar diselesaikan dan BN menerima sokongan daripada PAS maka ia akan menyaksikan pelantikan seorang menteri besar  daripada pihak UMNO-BN.

“Jika tiada penyelesaian yang memuaskan, pilihan terbaik adalah untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author