Connect with us

Terkini

Albanese tegur Sumud Flotilla: Aktivisme tanpa arah hanya jadi simbolik, Perlu tindakan nyata

Published

on

Foto: Francesca Albanese

BRUSSELS – Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di Wilayah Palestin, Francesca Albanese secara terbuka menegur pendekatan gerakan Sumud Flotilla, dengan menyifatkan aktivisme tanpa arah yang jelas dan terlalu bersifat simbolik tidak mencukupi untuk membawa perubahan sebenar.

Berucap pada Kongres Parlimen Global Sumud sulung di sini semalam, Albanese meluahkan kebimbangan terhadap keberkesanan gerakan tersebut, termasuk persoalan sama ada pendekatan yang digunakan selama ini benar-benar memberi impak.

“Saya telah bersama flotilla ini sejak dari awal… mungkin kita perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada ia tidak berkesan untuk kali yang ke-37 sebelum ini,” katanya, merujuk kepada siri usaha flotilla yang menurutnya wajar dinilai semula.

Beliau turut menegaskan bahawa gerakan solidariti perlu berani melakukan refleksi dalaman secara jujur, termasuk mengakui kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan.

“Gerakan tanpa arah adalah kekacauan… persembahan semata-mata tidak mencukupi,” katanya, sambil memberi amaran bahawa aktivisme yang terlalu bersifat simbolik tanpa strategi tidak akan menghasilkan perubahan sebenar.

Dalam nada tegas, Albanese turut mengkritik kecenderungan sesetengah pihak yang terlalu menumpukan kepada elemen visual dan simbolik.

“Terlalu banyak kekeliruan… lencana dan gambar… semuanya semakin bersifat persembahan,” katanya, merujuk kepada suasana dalam gerakan yang menurutnya semakin cenderung kepada elemen simbolik berbanding keberkesanan tindakan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sepenuhnya peranan flotilla, sebaliknya menekankan keperluan untuk memperkukuh strategi agar lebih tersusun, berdisiplin dan berimpak.

Menurutnya, gerakan tersebut perlu beralih daripada sekadar simbolik kepada tindakan yang mampu memberi kesan sebenar terhadap sistem yang menyokong penindasan ke atas rakyat Palestin.

“Ia adalah tentang mengganggu infrastruktur material… untuk menamatkan komplisit,” katanya, sambil menegaskan bahawa usaha perlu difokuskan kepada mengganggu rangkaian sokongan yang menyumbang kepada situasi semasa.

Albanese turut mengingatkan bahawa gerakan tanpa koordinasi dan kepimpinan yang jelas hanya akan mengakibatkan kekeliruan serta pembaziran sumber yang terhad.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak dalam gerakan solidariti Palestin memperkukuh disiplin, koordinasi dan hala tuju, bagi memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar memberi kesan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author