Terkini
Sumud bukan gimik: ‘Frontline Keempat’ perjuangan Palestin – CENTHRA
- Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, perjuangan Palestin perlu difahami dalam konteks lebih besar yang merangkumi empat pendekatan utama iaitu diplomasi, peperangan, kemanusiaan dan perundangan antarabangsa.
- “Ramai yang sebelum ini tidak faham, tetapi melalui gerakan seperti ini, mereka mula melihat bahawa ini bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan yang besar,” jelasnya.
- Beliau mengingatkan agar usaha seperti Sumud tidak dipandang remeh atau diperlekehkan, kerana setiap inisiatif yang digerakkan berpotensi menyumbang kepada perubahan yang lebih besar dalam jangka panjang.
KUALA LUMPUR – Gerakan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 tidak boleh dilihat sebagai sekadar aktivisme simbolik, sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi global yang lebih luas dalam perjuangan rakyat Palestin menentang Israel.
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, perjuangan Palestin perlu difahami dalam konteks lebih besar yang merangkumi empat pendekatan utama iaitu diplomasi, peperangan, kemanusiaan dan perundangan antarabangsa.
Menurut beliau, Sumud berada dalam kerangka tersebut sebagai salah satu inisiatif penting yang menyumbang kepada usaha kemanusiaan serta meningkatkan kesedaran global terhadap nasib rakyat Palestin.
“Kalau kita lihat gambaran besar, ada empat perkara dalam perjuangan Palestin, diplomasi di peringkat antarabangsa, pendekatan peperangan, usaha kemanusiaan dan juga perundangan melalui mahkamah antarabangsa,” katanya dalam satu sesi temu bual bersama The Merdeka Times.
Beliau menjelaskan, Sumud bukanlah keseluruhan strategi, namun memainkan peranan sebagai salah satu ‘pintu’ yang membolehkan masyarakat global, khususnya aktivis dan sukarelawan, menyumbang berdasarkan kepakaran dan kemampuan masing-masing.
Dalam masa sama, Azril menegaskan bahawa gerakan seperti Sumud membantu mengubah persepsi dunia Barat yang selama ini melihat isu Palestin hanya dari sudut agama, kepada satu krisis kemanusiaan yang lebih luas dan sejagat.
Katanya, kesedaran yang meningkat di kalangan masyarakat antarabangsa, termasuk di Eropah dan negara Barat, menunjukkan bahawa pendekatan ini berjaya membuka ruang pemahaman yang lebih mendalam terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Ramai yang sebelum ini tidak faham, tetapi melalui gerakan seperti ini, mereka mula melihat bahawa ini bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan yang besar,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar usaha seperti Sumud tidak dipandang remeh atau diperlekehkan, kerana setiap inisiatif yang digerakkan berpotensi menyumbang kepada perubahan yang lebih besar dalam jangka panjang.
“Kadang-kadang kita tidak tahu daripada usaha yang mana akhirnya nasib Palestin itu akan berubah menjadi lebih baik,” katanya.
Gerakan Sumud 2.0 yang sedang berlangsung ketika ini dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha terdahulu dalam memperkukuh tekanan global terhadap Israel, khususnya melalui pendekatan kesedaran awam dan solidariti antarabangsa.-The Merdeka Times