Terkini
Dana flotila lebih baik disalur terus kepada rakyat – Wartawan Gaza
- “Sebagai wartawan, kami menyokong anda dalam misi flotila yang pertama, dan juga yang kedua. Kami menyokong anda tatkala kami hidup di bawah hujanan bom, kehilangan ahli keluarga, orang tersayang, dan rakan-rakan. Walau bagaimanapun, secara jujurnya, kami mahupun anda memahami bahawa usaha untuk sampai ke Gaza dalam keadaan semasa adalah amat sukar, jika bukan mustahil.
- “Oleh itu, mungkin lebih bermanfaat jika usaha kewangan ini dialihkan kepada organisasi kemanusiaan di dalam Gaza, supaya bantuan dapat sampai kepada keluarga yang sedang hidup dalam keadaan yang amat getir dan memerlukan segala sokongan yang ada,” katanya di laman Instagram.
- Jelas wartawan di Gaza, Mohammed AbuSalama, dari sudut pandang yang lebih realistik, beliau juga mendakwa flotila tersebut tidak lagi memberikan impak yang sama kepada penduduk Gaza seperti sebelum ini.
GAZA – Seorang wartawan Palestin yang berpangkalan di Gaza berpendapat, dana sumbangan yang diterima pihak flotila yang menuju ke Gaza sebaiknya disalur kepada organisasi yang dipercayai atau institusi kemanusiaan yang dikenali ramai agar ia dapat sampai terus kepada keluarga yang memerlukan di wilayah berkenaan sekaligus membawa perubahan sebenar dalam hidup mereka.
Menzahirkan sokongan serta penghargaan buat para peserta misi kemanusiaan yang sedang dalam pelayaran ke wilayah tersebut, Mohammed AbuSalama berpandangan, pihaknya dan juga pihak misi itu menyedari bahawa untuk sampai ke Gaza bukanlah sesuatu yang mudah dan tiada sebarang jaminan.
Dari sudut pandang yang lebih realistik, beliau juga mendakwa flotila tersebut tidak lagi memberikan impak yang sama kepada penduduk Gaza seperti sebelum ini.
Beliau turut memetik kata-kata salah seorang penduduk yang tinggal di khemah pelarian di Gaza bahawa adalah lebih baik mendermakan wang tersebut terus ke Gaza berbanding membuangnya ‘ke laut tanpa sebarang manfaat’.
“Sebagai wartawan, kami menyokong anda dalam misi flotila yang pertama, dan juga yang kedua. Kami menyokong anda tatkala kami hidup di bawah hujanan bom, kehilangan ahli keluarga, orang tersayang, dan rakan-rakan. Namun, kami masih percaya dengan mesej anda dan amat menghargai apa yang anda lakukan untuk Palestin.
“Walau bagaimanapun, secara jujurnya, kami mahupun anda memahami bahawa usaha untuk sampai ke Gaza dalam keadaan semasa adalah amat sukar, jika bukan mustahil.
“Oleh itu, mungkin lebih bermanfaat jika usaha kewangan ini dialihkan kepada organisasi kemanusiaan di dalam Gaza, supaya bantuan dapat sampai kepada keluarga yang sedang hidup dalam keadaan yang amat getir dan memerlukan segala sokongan yang ada,” katanya di laman Instagram.
Menurutnya, beliau sangat menghormati serta menyayangi dan sama sekali tidak menentang pihak flotila berkenaan namun menegaskan kepentingan berfikir secara rasional seiring dengan emosi.
“Kami mendoakan keselamatan dalam perjalanan anda, dan berharap kita dapat bersua pada suatu hari nanti di Gaza dalam keadaan aman,” katanya. – The Merdeka Times