Connect with us

Terkini

Kontroversi dialog drama ‘Walid’: Kebebasan berkarya ada batas, isu akidah perlu rujuk pakar agama – Pensyarah Kanan UM

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, UM, Dr. Mohamad Razif.
  • Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, UM, Dr. Mohamad Razif berkata skrip sesebuah karya yang dihasilkan tanpa rujukan kepada pakar agama berisiko mengandungi kesilapan serius tanpa disedari.
  • “Jika tidak merujuk kepada pakar agama, skrip yang dihasilkan boleh mengandungi kesilapan yang serius tanpa disedari. Saya tidak sama sekali merasakan Puan Erma Fatima mahupun Aqasha kurang pengetahuan agama, tetapi mungkin perlu kepada perbincangan yang lebih mendalam berhubung isu-isu terkait agama.
  • “Jika ingin memaparkan ajaran atau fahaman yang salah, ia perlu dibuat dengan cara yang berhati-hati dan jelas menunjukkan kesalahannya, bukan sekadar memaparkannya secara terus seolah-olah ia biasa atau boleh diterima,” katanya.

KUALA LUMPUR – Kebebasan berkarya mempunyai batas, khususnya apabila melibatkan isu agama atau akidah yang sangat sensitif bagi umat Islam, selain keperluan merujuk kepada pakar agama dalam penghasilan sesebuah karya.

Perkara itu ditegaskan Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohamad Razif Mohamad Fuad, susulan isu tular melibatkan drama terbitan Erma Fatima.

Dalam drama berkenaan, watak Habib lakonan pelakon Aqasha didakwa melafazkan ungkapan seperti “Aku adalah Allah, Allah adalah aku”, sekali gus menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia.

Dr. Mohamad Razif berkata skrip sesebuah karya yang dihasilkan tanpa rujukan kepada pakar agama berisiko mengandungi kesilapan serius tanpa disedari.

“Jika tidak merujuk kepada pakar agama, skrip yang dihasilkan boleh mengandungi kesilapan yang serius tanpa disedari. Saya tidak sama sekali merasakan Puan Erma Fatima mahupun Aqasha kurang pengetahuan agama, tetapi mungkin perlu kepada perbincangan yang lebih mendalam berhubung isu-isu terkait agama.

“Jika ingin memaparkan ajaran atau fahaman yang salah, ia perlu dibuat dengan cara yang berhati-hati dan jelas menunjukkan kesalahannya, bukan sekadar memaparkannya secara terus seolah-olah ia biasa atau boleh diterima,” katanya dalam sebuah blog.

Menurut beliau, pengkarya seperti penerbit dan pengarah memikul tanggungjawab besar apabila menghasilkan kandungan yang menyentuh hal agama.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa sekiranya sesuatu karya ingin memaparkan ajaran atau fahaman yang salah, ia perlu dilakukan secara berhati-hati dan disertakan dengan penjelasan jelas bahawa ia adalah menyeleweng.

“Jika ia sekadar dipaparkan secara terus seolah-olah ia biasa atau boleh diterima, tidak ada beza dengan lambakan drama atau filem dengan tema yang sama sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohamad Razif menjelaskan bahawa dalam disiplin akidah Islam, lafaz yang menyamakan manusia dengan Tuhan atau menggambarkan penyatuan antara makhluk dan Allah merupakan ungkapan yang sangat berat.

Beliau turut menegaskan hukum terhadap lafaz sedemikian tidak berubah walaupun diungkapkan dalam bentuk lakonan, kerana penilaian dibuat berdasarkan zahir lafaz.

Selain itu, beliau menjelaskan perbezaan antara penceritaan dan lakonan, di mana penceritaan yang menyebut pandangan sesat tanpa mengaitkannya kepada diri sendiri dibenarkan dalam kerangka menjelaskan atau menolak kesesatan.

Bagaimanapun, lakonan itu memerlukan penelitian lebih teliti kerana pelakon melafazkan ungkapan tersebut secara langsung.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan lafaz sedemikian dalam media arus perdana berisiko menormalisasikan fahaman yang bercanggah dengan prinsip tauhid serta mendorong peniruan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa pendekatan termasuk penggunaan kaedah tidak langsung tanpa menyebut lafaz sensitif secara jelas, memasukkan watak yang memberi penjelasan balas, serta penggunaan teknik sinematik bagi mengelakkan dialog tersebut disampaikan secara terus.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut bertujuan memberi nasihat serta menyediakan alternatif, di samping berharap usaha memperkukuh kefahaman Islam melalui medium seni dapat diteruskan dengan lebih baik dan bertanggungjawab. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author