Antarabangsa
Penulis Perancis hasut kebencian umat Islam, Masjid Besar Paris failkan aduan
Masjid Besar Paris memfailkan aduan terhadap penulis Perancis, Michel Houellebecq berhubung kenyataan Islamofobianya yang dikhuatiri menggugat keselamatan penganut Islam di negara itu.
- Masjid Besar Paris memfailkan aduan terhadap penulis Perancis, Michel Houellebecq berhubung kenyataan Islamofobianya yang dikhuatiri menggugat keselamatan penganut Islam di negara itu.
- Dalam artikel itu, Houellebecq menggesa penduduk di Perancis perlu ‘melengkapkan diri masing-masing dengan senjata’ dan boleh menyerang pertubuhan Islam apabila ‘seluruh wilayah di Perancis jatuh di bawah kawalan Islam’.
- “Serangan dan tembakan akan dilakukan di masjid-masjid, di kedai-kedai kopi yang kebanyakannya dikunjungi oleh orang Islam,” ujar kenyataan jahat Houellebecq.
- Pentadbiran Masjid Besar Paris menyifatkan kenyataan Houellebecq itu ‘sangat kejam dan tidak boleh diterima’, mereka tidak berusaha untuk menjelaskan sebarang perdebatan awam tetapi sebaliknya membangkitkan retorik dan tindakan yang diskriminasi.
PARIS: Masjid Besar Paris memfailkan aduan terhadap penulis Perancis, Michel Houellebecq berhubung kenyataan Islamofobianya yang dikhuatiri menggugat keselamatan penganut Islam di negara itu.
Kenyataan media akhbar itu berkata, keputusan itu diambil pada Khamis (29 Dis) waktu tempatan, sebagai susulan kepada ‘perbincangan panjang lebar’ antara Houellebecq dan seorang lagi penulis, Michel Onfray diterbitkan dalam majalah Front Populaire pada Nov tahun ini, lapor Anadolu Agency.
Dalam artikel itu, Houellebecq menggesa bahawa penduduk di Perancis perlu ‘melengkapkan diri masing-masing dengan senjata’ dan boleh menyerang pertubuhan Islam apabila ‘seluruh wilayah di Perancis jatuh di bawah kawalan Islam’.
“Orang ramai ‘melengkapkan diri mereka sendiri dengan senjata’. Mereka perlu mendapatkan senapang dan mengikuti kursus menembak… Saya fikir tindakan penentangan akan berlaku apabila seluruh wilayah berada di bawah kawalan Islam.
“Serangan dan tembakan akan dilakukan di masjid-masjid, di kedai-kedai kopi yang kebanyakannya dikunjungi oleh orang Islam,” ujar kenyataan jahat Houellebecq.
Pentadbiran Masjid Besar Paris menyifatkan kenyataan Houellebecq itu sebagai ‘sangat kejam dan tidak boleh diterima’.
“Mereka (Michel Houellebecq dan Michel Onfray) tidak berusaha untuk menjelaskan sebarang perdebatan awam tetapi sebaliknya membangkitkan retorik dan tindakan yang diskriminasi,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa walaupun mengkritik agama dibenarkan dalam masyarakat demokratik, komen dalam artikel itu adalah lebih kepada ‘menyeru untuk menolak dan mengecualikan komponen Muslim secara keseluruhan’.
“Dalam keadaan ini, Masjid Besar Paris telah memutuskan untuk memfailkan aduan … terhadap kenyataan yang dianggapnya sebagai tindakan yang menimbulkan kebencian terhadap umat Islam,” tegas kenyataan tersebut.
Sumber: Harakahdaily