Terkini
Chegubard dakwa SPRM ‘kaldai rejim’, persoal tindakan terpilih dalam kes Exco Terengganu
- “Kalau ia (Exco Terengganu) salah, Chegubard sokong siasatan dan kalau ada bukti dakwa di mahkamah. Namun kes ini buktikan SPRM memang kaldai regim.
- “Kalau Exco Terengganu ditahan sebab lantik anak maka Anwar Ibrahim juga wajib ditahan sebab anaknya Nurul Izzah Anwar dilantik perbagai jawatan malah ingat lagi anak lelaki dia juga wakili Proton dalam delegasi bincang dengan kerajaan luar negara,” kata aktivis politik, Chegubard
- Beliau turut mempersoalkan pelantikan anak oleh Speaker Dewan Rakyat dalam pejabatnya sendiri serta isu pelantikan adik kepada Timbalan Ketua Menteri 1 dalam Majlis Agama Islam Pulau Pinang
KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Chegubard mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes melibatkan seorang Exco Terengganu yang didakwa menggunakan kedudukan untuk kepentingan ahli keluarganya, sambil menyifatkan agensi itu sebagai “kaldai rejim”.
Dalam satu hantaran Facebook, Chegubard merujuk kepada pertuduhan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Selasa atas dua tuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan pekerjaan untuk dua anak lelakinya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sekiranya benar berlaku salah laku, siasatan wajar diteruskan dan pendakwaan dibuat di mahkamah.
“Kalau ia (Exco Terengganu) salah, Che GuBard sokong siasatan dan kalau ada bukti dakwa di mahkamah.
“Namun kes ini buktikan SPRM memang kaldai regim.” katanya.
Beliau mempersoalkan sama ada tindakan sama akan dikenakan terhadap tokoh-tokoh lain.
Chegubard membandingkan kes tersebut dengan dakwaan pelantikan melibatkan keluarga Perdana Menteri, termasuk pelantikan Nurul Izzah Anwar ke pelbagai jawatan serta penglibatan seorang lagi anak lelaki dalam delegasi mewakili Proton untuk perbincangan dengan kerajaan luar negara.
“Kalau Exco Terengganu ditahan sebab lantik anak maka Anwar Ibrahim juga wajib ditahan sebab anaknya Nurul Izzah Anwar dilantik perbagai jawatan malah ingat lagi anak lelaki dia juga wakili Proton dalam deligasi bincang dengan kerajaan luar negara.
Beliau turut mempersoalkan pelantikan anak oleh Speaker Dewan Rakyat dalam pejabatnya sendiri.
“Bagaimana speaker dewan rakyat lantik anak dalam pejabat sendiri?,” soalnya.
Selain itu, beliau membangkitkan isu di Pulau Pinang berhubung pendedahan berkaitan pengurusan dana zakat dan mendakwa berlaku pelantikan ahli keluarga dalam Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
“Di Pulau Pinang pula, terbaru dalam kes pendedahan penyelewengan duit zakat, PETA (Pembela Tanah Air) telah mendedahkan adik TKM 1 (Timbalan Ketua Menteri 1) dilantik sebagai mengurus kewangan Majlis Agama Islam Pulau Pinang di mana abangnya Pengerusi”
Hantaran tersebut turut menyertakan pautan yang didakwa mengandungi senarai pelantikan melibatkan ahli keluarga dan saudara mara dalam agensi berkaitan.
Terdahulu, Datuk Hanafiah Mat, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa sebagai badan awam iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi seorang anak lelakinya di Pejabat Epic Berhad di Pangkalan Bekalan Kemaman dekat Teluk Kalong, Kemaman pada 15 Ogos 2018.
Pertuduhan kedua melibatkan dakwaan perbuatan sama bagi seorang lagi anak lelakinya pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 April. – The Merdeka Times