Terkini
Indonesia dilantik Timbalan Komander ISF: Malaysia perlu teliti desakan luar sertai misi
- “Malaysia perlu membincangkan secara teliti kebaikan dan keburukan menyertai misi seperti ini sebelum membuat sebarang keputusan. Hakikatnya, di Malaysia, apa pun keputusan yang diambil, isu ini dikhuatiri akan dipolitikkan. – Pakar undang-undang antarabangsa dari UIAM, Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli
- Malaysia perlu mengambil pendirian yang berhati-hati dalam menilai sebarang tekanan atau desakan ekonomi daripada AS, khususnya jika ia berpotensi mengikat negara kepada pelan Lembaga Keamanan yang dikritik pelbagai pihak sebagai pendekatan yang membelakangi kerangka legitimasi PBB. – Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menghadapi sebarang tekanan meskipun Indonesia akan mengambil peranan sebagai Timbalan Komander dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang baru ditubuhkan di Gaza di bawah pelan Lembaga Keamanan, anjuran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli berkata Malaysia jelas dengan pendiriannya yang menyokong Palestin dan menggesa penglibatan aktif rakyat Palestin dalam apa-apa tindakan atau solusi yang melibatkan kepentingan mereka.
Tambah beliau, pihak luar tidak patut menentukan nasib rakyat Palestin tanpa mengambil kira pendirian dan pilihan warga Palestin.
“Malaysia perlu membincangkan secara teliti kebaikan dan keburukan menyertai misi seperti ini sebelum membuat sebarang keputusan.
“Hakikatnya, di Malaysia, apa pun keputusan yang diambil, isu ini dikhuatiri akan dipolitikkan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Dr. Mohd Yazid menganggap bahawa segala bentuk misi yang boleh menghentikan genosid oleh pihak Israel wajar dipertimbangkan.
“Meskipun begitu, rancangan jangka masa panjang atau satu blueprint patut diadakan oleh kepimpinan dunia Islam untuk memastikan keselamatan dan maruah rakyat Palestin terjaga.
“Perlu ada jangka masa dan objektif yang jelas. Buat masa ini, khususnya dunia Islam dilihat tidak mempunyai apa-apa ‘red flags’ dan ini membuatkan rejim Zionis semakin berani dan angkuh. Harapan kita ialah keamanan untuk semua,” tegasnya.
Sementara itu, Dr. Mohd Yazid beranggapan penglibatan Indonesia dalam ISF dilihat mampu menguatkan imejnya sebagai “middle power” yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab.
“Ini adalah kerana Indonesia akan dilihat mampu menyumbang kepada kestabilan serantau dan antarabangsa, sekali gus menambah modal diplomatiknya dalam rantau ASEAN,” jelasnya.
Namun, beliau menegaskan bahawa persepsi operasi yang terlalu rapat dengan kuasa besar atau membawa implikasi keselamatan rentas sempadan tetap menjadi risiko yang perlu dipantau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata Malaysia perlu mengambil pendirian yang berhati-hati dalam menilai sebarang tekanan atau desakan ekonomi daripada Amerika Syarikat.
Tambahan lagi katanya, jika ia berpotensi mengikat negara kepada pelan Lembaga Keamanan yang telah dikritik pelbagai pihak sebagai pendekatan yang membelakangi kerangka legitimasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip multilateralisme dan undang-undang antarabangsa, Malaysia tidak seharusnya dilihat menyokong atau terlibat dalam mana-mana pelan yang menjejaskan kedudukan institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Selain itu, cadangan penyertaan dalam ISF juga perlu dinilai secara teliti dan strategik. Walaupun terdapat penyertaan negara serantau seperti Indonesia sebagai Timbalan Komander, struktur kepimpinan ISF tetap diterajui oleh wakil Amerika Syarikat, iaitu Jasper Jeffers. Koordinasi operasi yang berpusat di Israel menimbulkan persoalan geopolitik yang signifikan,” katanya.
Menurutnya, tujuan utama ISF yang dilaporkan adalah untuk mendemilitarisasi Hamas, secara realitinya, objektif ini tidak dapat dipisahkan daripada keperluan koordinasi bersama Israel dan Amerika Syarikat.
“Ini bermakna penyertaan mana-mana negara dalam kerangka tersebut akan membawa implikasi politik dan strategik yang besar, termasuk persepsi bahawa ia menyebelahi salah satu pihak dalam konflik yang masih belum mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh.
“Malaysia perlu memastikan bahawa setiap keputusan dasar luar dibuat berasaskan kepentingan nasional jangka panjang, prinsip keadilan sejagat, serta konsistensi dengan pendirian negara terhadap isu Palestin.
“Pendekatan yang tergesa-gesa tanpa penilaian strategik yang menyeluruh berisiko mengheret Malaysia ke dalam percaturan kuasa besar yang kompleks dan berimplikasi tinggi,” ujarnya. – The Merdeka Times