Terkini
Tiada lagi lesen ternak babi di Selangor, Bekalan akan diimport – MB
- Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
- “Dalam menjunjung kasih titah terbaharu Tuanku, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor. Dan selepas keputusan MMKN, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit,” jelas beliau.
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memutuskan tidak lagi mengeluarkan lesen baharu penternakan babi di negeri itu, manakala ladang sedia ada akan ditutup secara berperingkat dengan kadar lebih pantas.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak memperkenankan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Jelas beliau dalam hantaran Facebooknya , kerajaan negeri menjunjung kasih atas titah tersebut dan sejak Januari lalu sudah menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi, selain memberi tumpuan kepada proses pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, Kuala Langat.
“Dalam menjunjung kasih titah terbaharu Tuanku, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Amirudin berkata, bagi ladang yang beroperasi sebelum ini, kawasan berkenaan akan ditutup secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor bagi memastikan proses penamatan berjalan teratur.
Beliau memaklumkan bahawa ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan masyarakat bukan Islam bagi bekalan daging babi di Selangor diperoleh melalui import dari negeri lain.
Susulan keputusan MMKN itu, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri berkaitan.
Tambahnya, sebarang kelulusan dan pengeluaran lesen import adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan akan dirujuk mengikut prosedur yang ditetapkan.
Amirudin menjelaskan keputusan tersebut diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat serta menangani kebimbangan berhubung impak ladang penternakan terhadap alam sekitar, termasuk isu saliran air dan pencemaran bau.
Beliau turut mengingatkan agar polemik berkaitan isu penternakan babi tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menggugat keharmonian serta menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu.-The Merdeka Times