Terkini
Kes kuil Rawang: MPS arah pemilik tanah selesai sendiri sejak 2022
- “Pertama, Yayasan Kubra telahpun merujuk kes ini kepada pihak berkuasa iaitu Majlis Perbadaran Selayang pada Mac 2022 namun arahan MPS tersebut untuk pemilik tanah menyelesaikan perkara ini secara terus dengan pihak kuil tersebut. Merujuk kepada Seksyen 44 Kanun Tanah Negara Undang-undang memberikan hak eksklusif kepada pemilik tanah atau pemegang pajakan untuk menduduki, menggunakan, dan menikmati hasil tanah secara sah,” – Peguam, Dr Mahmud Jumaat
- Beliau turut merujuk kepada kes Sidek bin Haji Muhammad & Ors yang menurutnya menjadi sandaran bahawa pemilik berdaftar tanah tidak diwajibkan mendapatkan perintah mahkamah untuk merobohkan struktur yang dibina secara haram di atas tanah milik sendiri apabila berlaku pencerobohan.
KUALA LUMPUR – Peguam, Dr Mahmud Jumaat menegaskan bahawa isu melibatkan Yayasan Kubra, Tamim Dahri dan perobohan sebuah kuil di Rawang perlu dilihat daripada sudut undang-undang tanah serta tindakan yang telah diambil lebih awal oleh pemilik tanah, bukannya dipolemikkan sebagai isu kaum atau agama.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun ditahan kerana disyaki merobohkan sebahagian struktur kuil tanpa sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan, dan siasatan awal mendapati kerja-kerja pembersihan dilakukan tanpa perbincangan serta tanpa pemberitahuan kepada pihak berkuasa atau pengadu.
Sebuah jengkaut turut dirampas bagi membantu siasatan.
Peguam, Dr Mahmud dalam pada itu menegaskan fakta bahawa Yayasan Kubra telah merujuk perkara itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) seawal Mac 2022 sebagai asas utama hujahnya.
“Pertama, Yayasan Kubra telahpun merujuk kes ini kepada pihak berkuasa iaitu Majlis Perbadaran Selayang pada Mac 2022 namun arahan MPS tersebut untuk pemilik tanah menyelesaikan perkara ini secara terus dengan pihak kuil tersebut.
“Merujuk kepada Seksyen 44 Kanun Tanah Negara Undang-undang memberikan hak eksklusif kepada pemilik tanah atau pemegang pajakan untuk menduduki, menggunakan, dan menikmati hasil tanah secara sah,” jelas beliau dalam hantaran Facebook miliknya.
Beliau turut merujuk kepada kes Sidek bin Haji Muhammad & Ors yang menurutnya menjadi sandaran bahawa pemilik berdaftar tanah tidak diwajibkan mendapatkan perintah mahkamah untuk merobohkan struktur yang dibina secara haram di atas tanah milik sendiri apabila berlaku pencerobohan.
Sehubungan itu, Dr Mahmud berpandangan bahawa pertikaian tersebut bersifat sivil dan bukannya jenayah.
“Kes ini melibatkan kes sivil dan bukan kes jenayah yang membolehkan pihak PDRM masuk campur memandangkan adalah hak Yayasan Kubra sebagai pemilik tanah yang sah untuk mengambil tindakan sendiri dan menghalau penceroboh secara munasabah (tanpa kekerasan yang berlebihan).
“Ini bukan isu 3R.Ini bukan isu perkauman.Ini bukan isu agama.
“Rakyat Malaysia tidak pernah menghalang pembinaan kuil atau tokong selagi ia dibina secara sah dan mengikut undang-undang,” tegas beliau.
Menurut beliau, penyelesaian terbaik ialah tindakan tegas, konsisten dan berlandaskan undang-undang oleh pihak berkuasa, agar isu berkenaan dapat diselesaikan tanpa dipengaruhi tekanan emosi atau naratif yang menyimpang daripada kerangka perundangan sebenar.
Beliau turut mempersoalkan keperluan reman terhadap Tamim Dahri dan seorang lagi individu yang dibenarkan selama dua hari oleh Mahkamah Majistret, serta mencadangkan semakan ke atas keputusan tersebut difailkan.-The Merdeka Times