Connect with us

Terkini

Rumah Ibadat Haram: Kerajaan sokong cadangan peguam Haniff Khatri tubuh Jawatankuasa Peringkat Nasional

Published

on

Foto: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
  • Kementerian Perpaduan Negara menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, bahawa sebuah jawatankuasa peringkat nasional perlu ditubuhkan untuk menangani isu rumah ibadat haram secara menyeluruh di seluruh negara.
  • Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata keanggotaan jawatankuasa itu hendaklah merangkumi pakar dalam hal ehwal agama, kerajaan tempatan, tanah, dan undang-undang, bagi memastikan penyelesaian yang adil dan berlandaskan undang-undang.
  • Menurut beliau isu pembinaan rumah ibadat mesti ditangani sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, bahawa sebuah jawatankuasa peringkat nasional perlu ditubuhkan untuk menangani isu rumah ibadat haram secara menyeluruh di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata keanggotaan jawatankuasa itu hendaklah merangkumi pakar dalam hal ehwal agama, kerajaan tempatan, tanah, dan undang-undang, bagi memastikan penyelesaian yang adil dan berlandaskan undang-undang.

Tambah beliau, pihak kementerian menyambut baik titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat mesti dipatuhi mengikut undang-undang dan tidak dipolitikkan.

“Titah Seri Paduka Baginda menekankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian, dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi, serta pematuhan kepada undang-undang.

“Titah Seri Paduka Baginda adalah panduan penting kepada semua pihak untuk sentiasa menghormati undang-undang serta menyelesaikan sebarang isu melalui saluran yang sah. Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan budaya, dan tanggungjawab memelihara nilainilai perpaduan, keamanan, dan keharmonian terletak pada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau isu pembinaan rumah ibadat mesti ditangani sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal struktur bangunan dan memastikan tiada rumah ibadat dibina tanpa kebenaran. 

“Kanun Tanah Negara (Akta 828) menetapkan tanah mesti berstatus “Tapak Rumah Ibadat”, dan sebarang tanah yang masih berstatus “Kediaman” atau “Pertanian” hendaklah melalui proses Tukar Syarat Tanah di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum sebarang pembinaan dibenarkan.

“Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) melalui PLANMalaysia digunakan untuk merancang pengezonan dan tapak khusus rumah ibadat, manakala Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) memastikan aspek teknikal dan keselamatan struktur dipatuhi sepenuhnya,” tegasnya.

Katanya, semua proses tersebut jelas dan berlandaskan undang-undang, sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Rukun Negara, dan sebarang percubaan untuk mempolitikkan isu rumah ibadat adalah tidak wajar, kerana ia hanyalah soal pematuhan undang-undang, prosedur rasmi, dan keselamatan awam.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat hendaklah diselesaikan melalui dialog dan rundingan bersama semua pihak berkepentingan.

“Kementerian memberi ruang penuh kepada proses perbincangan dan rundingan yang konstruktif, dengan matlamat mencapai penyelesaian yang adil, harmoni, dan berlandaskan undang-undang,” ujarnya. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author