Terkini
Kebebasan media: Kerajaan diseru untuk tidak campur tangan urusan pelaporan wartawan
- Editor Kanan The Conversation Amerika Syarikat, Kalpana Jain berkata kebebasan media kini berdepan ujian paling getir apabila kebebasan bersuara wartawan semakin ditekan dan semakin merosot di kebanyakan negara di dunia.
- “Usaha meningkatkan kebebasan media bukanlah satu proses yang mudah, sebaliknya merupakan kerja berterusan yang memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan, organisasi media dan masyarakat awam,” katanya kepada The Merdeka Times
- Tegasnya, kebebasan media juga bergantung kepada keupayaan media itu sendiri menunjukkan tahap kepercayaan dan kebebasan dalam pelaporan mereka.
KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru untuk tidak campur tangan urusan pelaporan wartawan bagi menjamin kebebasan media dalam menjalankan tugas.
Editor Kanan The Conversation Amerika Syarikat, Kalpana Jain berkata kebebasan media kini berdepan ujian paling getir apabila kebebasan bersuara wartawan semakin ditekan dan semakin merosot di kebanyakan negara di dunia.
Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran ini apabila isu kebebasan kewartawanan kembali menjadi perhatian utama dalam usaha mempertahankan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang telus dan bebas.
“Usaha meningkatkan kebebasan media bukanlah satu proses yang mudah, sebaliknya merupakan kerja berterusan yang memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan, organisasi media dan masyarakat awam,” katanya kepada The Merdeka Times
Tegasnya, kebebasan media juga bergantung kepada keupayaan media itu sendiri menunjukkan tahap kepercayaan dan kebebasan dalam pelaporan mereka.
“Pada satu sisi, media menunjukkan bahawa mereka boleh dipercayai apabila tidak lagi melaporkan berita yang mengikut keinginan pihak korporat atau politik. Media melakukan laporan yang adil,” menurutnya.
Beliau menambah bahawa integriti editorial amat penting bagi memastikan laporan media tidak dipengaruhi oleh kepentingan korporat atau tekanan politik.
Katanya, media yang bebas perlu berpegang kepada prinsip kewartawanan beretika dan menyampaikan laporan yang seimbang serta adil.
Mengulas peranan etika dan pengawasan media, Kalpana berkata mekanisme seperti Insititusi Ombudsman mampu memainkan peranan penting dalam memastikan kebebasan wartawan terus terpelihara tanpa mengabaikan suara masyarakat.
Ombudsman di negara matang sistemnya, seperti di Australia (Office of the Commonwealth Ombudsman) menjadi institusi ideal paling dekat dengan rakyat bagi menangani penyalahgunaan kuasa pentadbiran, kelewatan melampau, keputusan tidak telus, kegagalan memberi maklumat dan layanan diskriminasi.
“Institusi Ombudsman boleh memainkan peranan penting dengan memastikan bahawa suara masyarakat terdengar.
“Jika ada masalah mengenai laporan yang tidak tepat, Ombudsman boleh memastikan isu itu sampai kepada organisasi berita,” jelasnya.
Menyentuh soal kebebasan media dan keselamatan negara, Kalpana menegaskan kebebasan hanya boleh berfungsi dengan baik jika disertai rasa tanggungjawab dan etika kewartawanan yang tinggi.
Beliau memberi contoh peranan media berwibawa seperti The Washington Post yang pernah mendedahkan skandal besar sehingga membawa kepada peletakan jawatan Presiden, Richard Nixon.
“Apabila orang ramai mempercayai anda, laporan anda boleh membawa perubahan.
“Ia menyebabkan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Richard Nixon, meletakkan jawatan. Itulah sebabnya (wartawan) kita perlu bertanggungjawab, mempunyai etika dan keadilan (dalam menyampaikan berita),” katanya. – The Merdeka Times