Terkini
Azam Baki didakwa miliki saham bernilai hampir RM800,000
- Menurut Bloomberg, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd., menurut pemfailan tahunan yang dibuat oleh Velocity Capital kepada SSM pada 3 Februari tahun lalu.
- Pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir 800,000 ringgit (AS$203,000) setakat penutupan dagangan pada hari Isnin.
- Lapor Bloomberg lagi, sehingga hari Selasa, nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di Suruhanjaya Syarikat, yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilapor memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut satu pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Ia merupakan pendedahan awam pertama mengenai pegangan besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pemilikan sahamnya mencetuskan protes yang menuntut beliau meletakkan jawatan.
Menurut Bloomberg, Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd., menurut pemfailan tahunan yang dibuat oleh Velocity Capital kepada SSM pada 3 Februari tahun lalu.
Pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir 800,000 ringgit (AS$203,000) setakat penutupan dagangan pada hari Isnin.
Lapor Bloomberg lagi, sehingga hari Selasa, nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di Suruhanjaya Syarikat, yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.
Tidak jelas bila saham-saham itu diperoleh. Velocity Capital masih belum membuat pemfailan yang sama, dikenali sebagai pulangan tahunan, bagi tahun ini.
Azam, 62, dan SPRM tidak memberikan sebarang komen apabila ditanya Bloomberg mengenai pemilikan saham tersebut.
Lapor Blomberg, Azam kemudiannya memberitahu akhbar tempatan, New Straits Times bahawa transaksi itu telah diisytiharkan dengan sewajarnya dan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, sambil menambah bahawa saham tersebut dibeli tahun lalu dan dijual dalam tahun yang sama.
Akhbar itu memetik beliau sebagai berkata laporan yang mempersoalkan transaksi tersebut adalah berniat jahat dan mengelirukan.
Satu pekeliling kerajaan Malaysia pada tahun 2024, yang memberikan panduan kepada peraturan tahun 1993 berkaitan tatakelakuan penjawat awam, menyatakan bahawa seorang penjawat awam boleh membeli saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pegangan tersebut tidak melebihi 5% daripada modal berbayar syarikat atau bernilai tidak lebih daripada 100,000 ringgit, mengikut mana yang lebih rendah.
Mereka juga diwajibkan mengisytiharkan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun serta pada masa pembelian dan penjualan pegangan.
Transparency International dan kumpulan advokasi anti-rasuah lain sejak sekian lama mendesak kerajaan Malaysia supaya mewajibkan penjawat awam mengisytiharkan aset mereka secara terbuka.
Azam, yang dianggap sebagai penjawat awam di bawah undang-undang yang mentadbir SPRM, belum mengisytiharkan asetnya secara terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanjutkan kontrak Azam selama setahun sebanyak tiga kali selepas melepasi umur persaraan wajib bagi penjawat awam.
Anwar mempertahankan keputusannya dengan menyatakan bahawa Azam telah menunjukkan “keberanian luar biasa” dalam menyiasat tokoh-tokoh berpengaruh yang didakwa terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kontrak semasa Azam dijadualkan tamat pada bulan Mei.
Pejabat Anwar tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Azam berdepan bantahan awam selepas seorang wartawan Malaysia melaporkan pada akhir 2021 mengenai pegangan sahamnya dan mempersoalkan sama ada ia melanggar peraturan bagi penjawat awam berhubung pemilikan dan pengisytiharan aset.
Penunjuk perasaan berarak di Kuala Lumpur pada Januari 2022 menuntut peletakan jawatan dan penahanannya.
Pada ketika itu, Azam berkata salah seorang adiknya telah menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menjalankan siasatan dan memutuskan bahawa Azam tidak melanggar undang-undang sekuriti, dengan menyatakan tiada bukti konklusif bahawa pihak lain telah menggunakan akaunnya. Tiada tindakan disiplin lain yang didedahkan.
Azam menyaman wartawan tersebut, Lalitha Kunaratnam, yang menulis laporan pada 2021 itu, atas dakwaan fitnah, dengan menuntut ganti rugi sebanyak 10 juta ringgit.
Kes tersebut diselesaikan pada tahun 2024 dengan terma yang tidak didedahkan, tanpa mana-mana pihak mengakui kesalahan. Lalitha enggan mengulas. – The Merdeka Time