Terkini
Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di Selangor
- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara melalui bau busuk serta mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.
- Dalam pada itu, baginda juga menekankan bahawa walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja.
- Baginda juga menyarankan agar kerajaan memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor.
KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan berkata baginda bertitah penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara melalui bau busuk serta mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.
“Sebagai contohnya, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar, daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan Felda, pastinya menerima bantahan daripada penduduk tempatan dan persekitarannya.
“Di samping itu, ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan Sultan Selangor itu dikeluarkan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Januari lalu yang menyarankan Kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Isu berkaitan turut dibincangkan semasa Perdana Menteri menghadap Baginda pada 8 Februari lepas.
Semalam, Perdana Menteri menekankan bahawa beliau tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan yang dibantah penduduk tempatan dan yang boleh menimbulkan kontroversi, dan sekiranya tiada kawasan yang bersesuaian di Selangor, saranannya adalah agar projek tersebut tidak dijalankan.
Dalam pada itu, Sultan Sharafudin juga menekankan bahawa walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja.
Tambah kenyataan itu, tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.
“Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di negeri Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah tinggi di Negeri Selangor yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan masyarakat,” jelas kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, baginda menyarankan agar kerajaan memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor.
“Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama Kerajaan Negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah Negeri Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, baginda turut menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. – The Merdeka Times