Terkini
Ceroboh tanah: Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil cabar dakwaan terhadap Pengerusi Kuil Dengkil
- Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil, menyatakan pihaknya akan mencabar dakwaan yang dikenakan terhadap Pengerusi Kuil Dengkil, M Paramaguru mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
- Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad, 70, tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil, pada pukul 4.45 petang, 19 Jun 2025.
- Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR – Pasukan Bertindak Pemeliharaan Kuil, menyatakan pihaknya akan mencabar dakwaan yang dikenakan terhadap Pengerusi Kuil Dengkil, M Paramaguru mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh aktivis, Arun Dorasamy dalam satu hantaran di Facebooknya.
Semalam media melaporkan, seorang pengerusi kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan menceroboh tanah persendirian, tahun lalu.
Tertuduh, M. Paramaguru, 49, yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad, 70, tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil, pada pukul 4.45 petang, 19 Jun 2025.
Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Darshela Hari Raja yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta dua orang anak, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – The Merdeka Times