Connect with us

Terkini

Pemutihan rumah ibadat perlu jelas, telus – Pakar Perlembagaan

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengemukakan statistik yang jelas berkaitan pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang sebelum sebarang dasar pemutihan dilaksanakan.
  • “Perlu ada statistik yang jelas tentang pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang. Adakah ia dibina di atas tanah milik kumpulan agama itu, adakah kumpulan agama itu berdaftar, mematuhi kehendak RoS sebagai pertubuhan yang sah.
  • “Adakah aktiviti dan amalannya benar-benar mematuhi ajaran agama masing-masing dan tidak bercanggah dengan undang-undang negara, adakah lokasinya sesuai dan tidak mendapat bantahan masyarakat setempat, daripada sumber kewangan dan adakah pengurusan kewangannya telus,” katanya kepada The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan polisi pemutihan pembinaan rumah ibadat perlu diperjelaskan secara telus dan tidak boleh mempunyai sebarang agenda terselindung kerana ia berpotensi menimbulkan salah faham serta kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengemukakan statistik yang jelas berkaitan pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang sebelum sebarang dasar pemutihan dilaksanakan.

Menurut beliau, antara perkara penting yang perlu diperincikan ialah status pemilikan tanah, pendaftaran kumpulan agama, pematuhan kepada kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kesesuaian lokasi, penerimaan masyarakat setempat, sumber kewangan, serta ketelusan pengurusan kewangan.

“Perlu ada statistik yang jelas tentang pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi undang-undang. Adakah ia dibina di atas tanah milik kumpulan agama itu, adakah kumpulan agama itu berdaftar, mematuhi kehendak RoS sebagai pertubuhan yang sah.

“Adakah aktiviti dan amalannya benar-benar mematuhi ajaran agama masing-masing dan tidak bercanggah dengan undang-undang negara, adakah lokasinya sesuai dan tidak mendapat bantahan masyarakat setempat, daripada sumber kewangan dan adakah pengurusan kewangannya telus,” katanya kepada The Merdeka Times.

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam melaksanakan program pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun KPKT tetap terbuka untuk membantu menyelesaikannya dalam suasana harmoni.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi menegaskan bahawa rumah ibadat dan organisasi agama bukan Islam tidak ditadbir oleh pihak berkuasa agama negeri seperti Majlis Agama Islam Negeri, sebaliknya tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang awam.

“Justeru, bukan sahaja rumah beribadat agama selain Islam perlu diberi perhatian dari sudut pembinaannya, bahkan perlindungan kepada ahli rumah ibadat itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan tadbir urus rumah ibadat bukan Islam perlu diberi perhatian yang sama serius memandangkan ia tertakluk kepada undang-undang awam negara.

Beliau turut mencadangkan agar sebarang polisi pemutihan dipersembahkan terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja (MRR) bagi mengelakkan salah faham dan kegusaran khususnya dalam kalangan umat Islam.

“Ini kerana dikhuatiri agenda pemutihan itu akan mengakibatkan pengembangan agama bukan Islam kepada penganut agama Islam dan penggunaan dana awam. Dana awam bagi pendidikan agama hanya boleh diperuntukkan bagi institusi agama Islam di bawah Perkara 12.

“Pada masa yang sama syarat untuk melaksanakan kebebasan beragama termaktub dalam Perkara 11. Kumpulan agama selain agama Islam boleh menguruskan hal ehwal agamanya sendiri, mengutip dana mereka sendiri tetapi tidak boleh diperuntukkan dana daripada cukai Kerajaan Pusat dan Negeri, mereka boleh menubuh dan menyenggarakan institusi bagi maksud agama dan khairat mereka, serta nemperoleh dan mempunyai harta dan mentadbirkannya mengikut undang-undang,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan kebebasan beragama dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan, bukan disalahgunakan oleh pihak yang berselindung di sebalik agama untuk menyebarkan fahaman keganasan atau ideologi yang bercanggah dengan kedaulatan undang-undang.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan KPKT bahawa penggunaan istilah ‘pemutihan’ itu sendiri boleh mencetuskan kegusaran rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Istilah pemutihan ini lebih banyak menimbulkan kegusaran yang boleh memecahkan perpaduan rakyat. 

“Jika orang Islam sudah sekian lama mematuhi undang-undang dalam mendirikan rumah ibadat, kenapa amalan yang baik ini tidak dicontohi.”

Beliau menegaskan bahawa tidak semua kesalahan boleh diputihkan dan kerajaan tidak wajar menjadikan kes terpencil sebagai rujukan atau ‘precedence’.

“Dalam negara Malaysia, Islam ialah agama Persekutuan dan Negeri (kecuali Sarawak), maka sebarang idea yang boleh menyentuh kedudukan agama Islam perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja,” tegasnya.

Menurutnya lagi, KPKT sepatutnya menunjukkan ketegasan dalam memastikan undang-undang berkaitan pembinaan rumah ibadat dipatuhi sepenuhnya sebagai manifestasi menjunjung keluhuran Perlembagaan.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan ahli Jemaah Menteri agar sentiasa sedar akan sumpah jawatan yang dilafazkan di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli Jemaah Menteri perlu sedar bahawa mereka telah melafazkan sumpah di bawah Jadual Keenam Perlembagaan, dan mereka patut insafi bahawa mereka sebenarnya ditetapkan Perlembagaan untuk melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Maka laksanakanlah fungsi kuasa tersebut selari dengan sumpah YDPA,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang usaha membantu pembinaan rumah ibadat perlu dilakukan melalui proses permohonan yang sah, di lokasi sesuai dan mematuhi sepenuhnya syarat undang-undang, tanpa menjejaskan struktur asas Perlembagaan Persekutuan, antaranya kedudukan agama Islam. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author