Terkini
IJM diambil alih, Aset kritikal negara beralih ke tangan konglomerat terkaya
- “Jika pengambilalihan ini berjaya, lebuh raya dan pelabuhan yang digunakan rakyat setiap hari akan berada di bawah kawalan seorang bilionair sektor swasta yang tergolong dalam kelompok sepuluh terkaya di Malaysia.
- “Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah dan keluarganya merupakan pemegang saham majoriti Sunway Berhad melalui entiti kawalan, dengan pegangan melebihi 54peratus saham.
- “Pegangan ini memberikan beliau dan keluarga pengaruh yang sangat besar terhadap hala tuju strategik, keputusan korporat dan kawalan keseluruhan kumpulan Sunway,” – Pengerusi Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin.
KUALA LUMPUR — Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) oleh Sunway Berhad disifatkan sebagai langkah yang berpotensi memperkukuh kedudukan strategik seorang bilionair sektor swasta ke atas aset-aset infrastruktur kritikal negara, kata Pengerusi Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin.
Menurut beliau dalam satu kenyataan, transaksi tersebut bukan sekadar urus niaga korporat biasa melibatkan turun naik harga saham, sebaliknya menyentuh persoalan struktur pemilikan, pengagihan risiko dan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.
Beliau mendakwa hanya sekitar 10 peratus nilai transaksi dibayar secara tunai, manakala selebihnya dalam bentuk saham.
“Pengambilalihan IJM akan meletakkan aset-aset infrastruktur kritikal yang digunakan rakyat setiap hari di bawah kawalan seorang bilionair, dengan hanya 10 peratus daripada nilai transaksi dibayar secara tunai.
“Maka pengambilalihan IJM oleh Sunway Berhad (Sunway) ini perlu dibantah dan ditentang keras kerana ia bukan urusan niaga korporat yang lurus dan mudah, seperti turun naik harga saham di pasaran,” tegas beliau.
Dr Armin menegaskan IJM bukan syarikat biasa kerana memiliki dan mengendalikan aset infrastruktur penting termasuk lebuh raya utama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, kepentingan dalam pelabuhan laut dalam seperti Kuantan Port serta konsesi jangka panjang di dalam dan luar negara.
Aset-aset ini, katanya, berkait langsung dengan mobiliti rakyat, kos logistik, rantaian bekalan dan keselamatan ekonomi nasional.
Beliau berpandangan bahawa perubahan kawalan terhadap aset strategik seperti lebuh raya dan pelabuhan tidak boleh dinilai semata-mata dari sudut keuntungan korporat, sebaliknya perlu dilihat melalui lensa kepentingan awam.
Jika pengambilalihan ini dimuktamadkan, aset tersebut akan berada di bawah kawalan kumpulan korporat yang dikuasai pemegang saham majoriti Sunway.
“Jika pengambilalihan ini berjaya, lebuh raya dan pelabuhan yang digunakan rakyat setiap hari akan berada di bawah kawalan seorang bilionair sektor swasta yang tergolong dalam kelompok sepuluh terkaya di Malaysia.
“ Tan Sri Dato’ Seri Dr. Jeffrey Cheah dan keluarganya merupakan pemegang saham majoriti Sunway Berhad melalui entiti kawalan, dengan pegangan melebihi 54peratus saham.
“Pegangan ini memberikan beliau dan keluarga pengaruh yang sangat besar terhadap hala tuju strategik, keputusan korporat dan kawalan keseluruhan kumpulan Sunway,” tambah beliau lagi.
Menurut Dr Armin, isu yang timbul ialah penumpuan kuasa ekonomi dalam entiti swasta yang semakin besar.
Beliau turut membangkitkan isu ekuiti Bumiputera dalam IJM yang dipegang melalui dana awam dan institusi berkaitan kerajaan.
Katanya, pengambilalihan berasaskan pertukaran saham berpotensi menukar pegangan strategik langsung dalam syarikat infrastruktur kepada pegangan lebih kecil dan pasif dalam sebuah konglomerat yang lebih besar.
Dari sudut struktur transaksi, beliau mempersoalkan implikasi apabila majoriti bayaran dibuat dalam bentuk saham, yang menurutnya memindahkan risiko pasaran kepada pemegang saham IJM termasuk dana yang mewakili kepentingan awam.
Tambah beliau, konsolidasi berskala besar juga berpotensi memberi kesan kepada persaingan pasaran serta kedudukan vendor kecil dan kontraktor tempatan.
Dr Armin menegaskan bahawa perubahan kawalan ke atas aset konsesi awam lazimnya memerlukan penilaian dan kelulusan kerajaan kerana melibatkan kepentingan negara.
Beliau menyeru agar transaksi tersebut dinilai secara menyeluruh melalui ujian kepentingan awam, termasuk perlindungan terhadap ekuiti Bumiputera, pemegang saham minoriti serta impak terhadap struktur pasaran dan tadbir urus ekonomi negara.
“Oleh itu, kerajaan perlu campur tangan secara tegas untuk menghentikan pengambilalihan aset strategik negara oleh seorang tycoon sektor swasta.
“Ini bukan campur tangan politik, tetapi tanggungjawab tadbir urus. Pasaran bebas tidak bermaksud pasaran tanpa tanggungjawab sosial,” ujarnya. -The Merdeka Times