Connect with us

Terkini

Menyamar peguam: Tindakan perundangan boleh diambil

Published

on

Foto: Peguam, Dr Zulqarnain Lukman.
  • Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berkata, tindakan perundangan boleh diambil di bawah Seksyen 37 Akta Profesion Undang-Undang 1976 terhadap mana-mana individu yang menyamar atau bertindak sebagai peguam tanpa lesen.
  • Menurut beliau kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,500 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
  • Beliau berharap Majlis Peguam dapat bekerjasama dengan PDRM bagi membanteras kegiatan penyamaran peguam yang semakin berleluasa.

KUALA LUMPUR – Tindakan perundangan boleh diambil di bawah Seksyen 37 Akta Profesion Undang-Undang 1976 terhadap mana-mana individu yang menyamar atau bertindak sebagai peguam tanpa lesen

Peguam, Dr Zulqarnain Lukman berkata, Seksyen 37 Akta Profesion Undang-Undang 1976 dengan jelas melarang mana-mana individu yang tidak diberi kuasa daripada bertindak sebagai peguam dan peguam cara di Malaysia.

Menurut beliau kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,500 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Akta berkenaan termasuk kepada mana-mana orang yang tidak diberi kuasa yang bertindak sebagai peguam atau ejen kepada mana-mana pihak dalam prosiding mahkamah, memfailkan writ atau saman, memulakan atau membela tindakan guaman, serta menyediakan atau menggubal dokumen berkaitan prosiding mahkamah bagi pihak orang lain.

Selain itu akta itu turut melibatkan mana-mana orang dengan sengaja atau secara palsu berpura-pura menjadi, atau menggunakan apa-apa nama, gelaran, tambahan atau perihalan yang memberi gambaran bahawa dia adalah layak atau diberi kuasa untuk bertindak sebagai seorang peguam dan peguam cara, atau bahawa dia diiktiraf oleh undang-undang sebagai layak atau diberi kuasa sedemikian

Dr Zulqarnain berkata kebanyakan individu yang menyamar sebagai peguam terdiri daripada mereka yang sudah biasa dengan persekitaran guaman, termasuk bekas kerani mahkamah atau kerani firma guaman yang sebelum ini pernah berdepan pertuduhan di mahkamah.

“Orang ramai mudah terpengaruh dengan orang seperti ini kerana mereka menyamar dengan memakai baju kemeja putih dan seluar hitam serta memakai blazer. Orang seperti ini juga akan membawa kad perniagaan yang mempunyai nama seakan firma guaman.

“Selain itu, cara mereka bercakap dan mempengaruhi percakapan orang ramai juga seperti seorang peguam,” katanya kepada The Merdeka Times..

Malah, katanya, golongan tersebut akan membacakan seksyen tertentu daripada sesuatu akta dan akhirnya memperdaya orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata dalam kebanyakan kes yang dibicarakan di mahkamah, pihak pendakwaan memilih untuk mendakwa tertuduh di bawah Kanun Keseksaan bergantung kepada fakta kes.

“Ada yang didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu di mahkamah, ada yang di bawah Seksyen 416 kerana penyamaran.

“Ada juga yang didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu secara tidak jujur sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang,” katanya.

Menurut beliau, hukuman di bawah Kanun Keseksaan adalah jauh lebih berat dan lebih berkesan sebagai pencegah.

Dalam pada itu, Dr. Zulqarnain menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum berurusan dengan mana-mana individu yang mengaku sebagai peguam.

“Orang ramai boleh membuat semakan melalui laman web Majlis Peguam Malaysia untuk memastikan individu dan firma guaman tersebut berdaftar dan beramal secara sah,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan supaya setiap bayaran dibuat kepada firma guaman dan disertakan resit serta invois rasmi sebagai langkah keselamatan.

Selain itu, beliau berharap Majlis Peguam dapat bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan penyamaran peguam yang semakin berleluasa.

Terdahulu, The Merdeka Times, melaporkan, Majlis Peguam Malaysia (Bar Council Malaysia) telah mengesahkan bahawa aktivis,  Arun Dorasamy bukan seorang peguam yang berdaftar.

Perkara itu dikongsikan Peguam, Dr Shamsher Singh Thind dalam satu hantaran di Facebooknya dengan memuat naik gambar memaparkan surat pengesahan oleh Bar Council Malaysia.

Dr Shamsher berkata keputusan daripada Bar Council Malaysia menetapkan Arumugam a/l Dorasamy adalah bukan Peguam. – The Merdeka Times.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author