Connect with us

Terkini

(VIDEO) Rayer persoal mengapa Zamri Vinoth, Ridhuan Tee, Firdaus Wong & Cikgu Chandra belum diambil tindakan

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mempersoalkan ketiadaan tindakan setakat ini terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam penganjuran satu gerakan anti rumah anutan haram yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari di sekitar Sogo, Kuala Lumpur.

Ketika mengemukakan soalan di Dewan Rakyat kepada Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, Rayer menamakan empat individu, iaitu Zamri Vinoth, Cikgu Chandra, Ridhuan Tee dan Firdaus Wong, sambil menyatakan kebimbangan bahawa tindakan mereka berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta mengancam keharmonian negara.

Menurut Rayer, ketiadaan tindakan penguatkuasaan sehingga kini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak, yang bimbang kemungkinan berlakunya keganasan dan kekacauan awam sekiranya isu berkenaan tidak ditangani lebih awal.

Menjawab soalan tersebut, Aaron menegaskan bahawa kerajaan memandang serius sebarang bentuk ekstremisme agama yang boleh mengancam keamanan masyarakat serta keselamatan negara.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyalahgunakan agama bagi menyemai kebencian, menghasut perpecahan atau mencabar ketenteraman awam.

Aaron turut menegaskan bahawa walaupun kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, hak itu tidak bersifat mutlak dan tidak boleh disalahgunakan sehingga menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja, atau isu 3R.

Menurut beliau, Kementerian Perpaduan Negara menyokong sepenuhnya tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara bagi mengenal pasti, menyiasat dan mendakwa pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Antara undang-undang yang boleh diguna pakai termasuk Akta Hasutan, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia, bergantung kepada hasil siasatan dan kesalahan yang dikenal pasti.

Aaron menegaskan, kerajaan juga komited memastikan ruang media sosial kekal sebagai platform yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, sambil menekankan bahawa tiada toleransi akan diberikan terhadap sebarang bentuk ekstremisme, sama ada di dunia fizikal mahupun digital.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author