Terkini
Pompeo sahkan AS beri sokongan kepada perusuh Iran
- Pengakuan itu Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, Mike Pompeo dibuat dalam satu wawancara bersama saluran televisyen Israel, Channel 13, pada Isnin.
- Kenyataan Pompeo itu dilihat mendedahkan bahawa di sebalik kenyataan rasmi pentadbiran Trump yang kononnya berusaha mencari penyelesaian damai dengan Tehran, Amerika Syarikat pada hakikatnya terlibat secara aktif dalam agenda perubahan rejim di Iran.
WASHINGTON – Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, Mike Pompeo, mengakui bahawa Washington memainkan peranan secara langsung dalam rusuhan ganas yang berlaku di Iran baru-baru ini, termasuk dengan memberi bantuan terus kepada pihak perusuh.
Pengakuan itu dibuat dalam satu wawancara bersama saluran televisyen Israel, Channel 13, pada Isnin, apabila beliau menolak dakwaan bahawa janji sokongan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, terhadap perusuh di Iran tidak pernah direalisasikan.
“Saya tidak fikir begitu. Bantuan memang diberikan… banyak bantuan. Kita mungkin tidak melihat semuanya… kita mungkin tidak tahu tentang semuanya, tetapi Amerika Syarikat secara aktif cuba membantu mereka,” kata Pompeo ketika menjawab soalan pengacara rancangan tersebut.
Apabila ditanya sama ada Trump terlepas peluang untuk menjatuhkan kerajaan Iran, Pompeo sekali lagi menafikan dakwaan itu, sekali gus mencetuskan persoalan tentang peranan sebenar Washington dalam ketidakstabilan dalaman negara tersebut.
Kenyataan Pompeo itu dilihat mendedahkan bahawa di sebalik kenyataan rasmi pentadbiran Trump yang kononnya berusaha mencari penyelesaian damai dengan Tehran, Amerika Syarikat pada hakikatnya terlibat secara aktif dalam agenda perubahan rejim di Iran.
Sebelum ini, Pompeo turut mengaitkan rusuhan di Iran dengan penglibatan agensi perisikan Amerika Syarikat dan Israel.
Pada 2 Januari lalu, beliau menulis di platform media sosial X dengan menyatakan: “Selamat Tahun Baharu kepada setiap rakyat Iran yang berada di jalanan. Juga kepada setiap ejen Mossad yang berjalan bersama mereka.”
Untuk rekod, protes aman bermula pada akhir Disember di kawasan komersial Iran susulan kejatuhan nilai mata wang rial berbanding dolar Amerika Syarikat.
Namun menjelang awal Januari, situasi bertukar menjadi rusuhan ganas selepas kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan Israel dan Amerika Syarikat menyusup masuk ke dalam perhimpunan tersebut.
Menurut laporan, kumpulan terbabit menggunakan peluru hidup terhadap anggota keselamatan dan orang awam, sekali gus mencetuskan keganasan meluas di beberapa kawasan.
Sebagai tindak balas, pasukan keselamatan dan unit perisikan Iran bertindak tegas bagi melindungi orang awam dengan menahan dalang utama yang terlibat dalam keganasan tersebut.
Pada 12 Januari, jutaan rakyat Iran dilaporkan menyertai demonstrasi besar-besaran di seluruh negara bagi menyatakan sokongan terhadap Republik Islam Iran, selepas itu rusuhan berkenaan dilaporkan reda dalam tempoh singkat.-The Merdeka Times