Terkini
Pengislaman anak hanya perlu keizinan salah seorang ibu bapa – Peguam Kanan
- Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berhujah, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan keperluan persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebaliknya memadai dengan keizinan seorang dewasa yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan, sama ada ibu bapa atau penjaga.
- Hujahan itu dikemukakan dalam prosiding pendengaran saman yang difailkan oleh M. Indira Gandhi bersama 13 plaintif lain di Mahkamah Tinggi di sini, yang mencabar peruntukan dalam beberapa enakmen negeri berkaitan penukaran agama kanak-kanak.
- Menurutnya, ujian persetujuan bersama ibu bapa yang diketengahkan dalam keputusan tersebut tidak boleh diterapkan secara menyeluruh bagi semua kes pengislaman kanak-kanak kerana ia terlalu mempermudah isu kebajikan kanak-kanak yang bersifat kompleks.
KUALA LUMPUR – Pengislaman kanak-kanak hanya memerlukan keizinan salah seorang ibu bapa atau penjaga dan bukannya persetujuan kedua-duanya, kata Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), beliau yang mewakili Wilayah Persekutuan berhujah, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan keperluan persetujuan kedua-dua ibu bapa, sebaliknya memadai dengan keizinan seorang dewasa yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan, sama ada ibu bapa atau penjaga.
Hujahan itu dikemukakan dalam prosiding pendengaran saman yang difailkan oleh M. Indira Gandhi bersama 13 plaintif lain di Mahkamah Tinggi di sini, yang mencabar peruntukan dalam beberapa enakmen negeri berkaitan penukaran agama kanak-kanak.
Negeri-negeri yang dinamakan sebagai defendan ialah Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Johor serta Wilayah Persekutuan.
Ahmad Hanir menegaskan, sandaran plaintif terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 2018 adalah tidak mencukupi kerana keputusan tersebut bersifat khusus kepada fakta kes berkenaan dan tidak mencabar secara langsung peruntukan undang-undang negeri atau Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
Menurutnya, ujian persetujuan bersama ibu bapa yang diketengahkan dalam keputusan tersebut tidak boleh diterapkan secara menyeluruh bagi semua kes pengislaman kanak-kanak kerana ia terlalu mempermudah isu kebajikan kanak-kanak yang bersifat kompleks.
“Pendekatan sedemikian berpotensi menjejaskan kepentingan terbaik kanak-kanak yang sepatutnya menjadi pertimbangan utama,” katanya.
Beliau turut berhujah bahawa tafsiran luas perlu diberikan terhadap Perkara 12(4) dengan mentafsirkan perkataan ‘parent’ dalam bentuk tunggal sebagaimana dinyatakan secara nyata.
“Tafsiran ini adalah wajar dan memberikan fleksibiliti dalam pentadbiran undang-undang berkaitan pengislaman kanak-kanak, sekali gus memastikan aspek kebajikan mereka tidak terabai,” katanya.
Sementara itu, pihak plaintif termasuk Indira Gandhi menegaskan, undang-undang negeri yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak secara sepihak adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana melanggar Perkara 12(4) yang memerlukan keizinan ibu bapa bagi asuhan agama kanak-kanak.
Merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kesnya pada 2018, Indira berhujah bahawa perkataan ‘parent’ dalam peruntukan tersebut perlu ditafsirkan sebagai ‘ibu dan bapa’ jika kedua-duanya masih hidup, justeru memerlukan persetujuan bersama sebelum kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan bukan Islam boleh diislamkan.
Plaintif memohon satu deklarasi agar semua penukaran agama secara sepihak yang dilakukan di negeri-negeri terlibat selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dibatalkan.
Saman itu difailkan pada Mac 2023.
Sebagai alternatif, plaintif turut memohon perintah mahkamah supaya sebarang penukaran agama kanak-kanak tertakluk kepada keizinan kedua-dua ibu bapa dan dibatalkan sekiranya salah seorang ibu atau bapa enggan memberikan persetujuan dalam tempoh setahun selepas perintah mahkamah dikeluarkan.
Dalam prosiding semalam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) hadir sebagai pencelah.
Hakim, Datuk Aliza Sulaiman kemudian menetapkan 21 Mei ini sebagai tarikh keputusan.
Kes ini berkait dengan anak perempuan Indira Gandhi, Prasana Diksa, yang dilarikan oleh bekas suaminya, Riduan Abdullah, hampir 18 tahun lalu ketika bayi itu berusia 11 bulan.
Pada 2009, Riduan mengislamkan ketiga-tiga anak mereka tanpa keizinan Indira sebelum memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran agama tersebut adalah terbatal dan tidak sah serta mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Riduan kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi supaya memulangkan Prasana.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak polis memaklumkan bahawa keberadaan Riduan dan Prasana masih belum dapat dikesan. – The Merdeka Times