Connect with us

Terkini

Tanpa reformasi undang-undang, Pilihan Raya Datuk Bandar hanya cipta harapan palsu – PN

Published

on

Foto: Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
  • Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media berkata, membingkaikan pilihan raya Datuk Bandar sebagai instrumen induk untuk meningkatkan keberkesanan DBKL gagal menangani isu sebenar yang membelenggu pentadbiran bandar raya itu.
  • “Justeru apa-apa langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan. Ini termasuklah pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan tersebut boleh wujud bersama-sama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain,” tegas beliau.

KUALA LUMPUR– Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (MP-PN) menyifatkan cadangan kajian untuk mengadakan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai langkah yang terlalu simplistik, naif dan salah arah, sambil menegaskan bahawa kecekapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh diperkukuh semata-mata melalui kaedah pemilihan kepimpinan.

Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media berkata, membingkaikan pilihan raya Datuk Bandar sebagai instrumen induk untuk meningkatkan keberkesanan DBKL gagal menangani isu sebenar yang membelenggu pentadbiran bandar raya itu.

Menurut beliau, kecekapan sesebuah bandar raya tidak bergantung secara langsung kepada sama ada Datuk Bandarnya dipilih atau dilantik, sebaliknya bergantung kepada kekuatan institusi, sistem tadbir urus serta budaya pengurusan yang mantap dan berintegriti.

“Jika objektif cadangan itu benar-benar bertujuan meningkatkan pencapaian DBKL, maka pendekatan yang lebih realistik dan praktis ialah dengan memfokuskan kajian kepada isu-isu langsung pentadbiran dan governansnya,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa cadangan tersebut menimbulkan persoalan perundangan dan perlembagaan yang serius, memandangkan Kuala Lumpur merupakan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan diletakkan secara langsung di bawah tanggungjawab kerajaan pusat.

Menurut kenyataan itu, DBKL pula ditadbir berasaskan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 serta undang-undang subsidiari yang menetapkan dengan jelas skop kuasa, fungsi dan akauntibilitinya dalam kerangka pentadbiran persekutuan.

“Justeru apa-apa langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Ini termasuklah pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan tersebut boleh wujud bersama-sama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain,” tegas beliau.

Takiyuddin turut memberi amaran bahawa pengenalan Datuk Bandar yang dipilih tanpa kuasa undang-undang yang diperincikan berisiko mewujudkan kekeliruan institusi, konflik bidang kuasa, pempolitikan pentadbiran bandar raya serta ketidakstabilan dasar akibat kitaran pilihan raya.

Beliau menegaskan, tanpa pembaharuan institusi dan undang-undang yang menyeluruh, cadangan tersebut hanya berpotensi mencetuskan harapan palsu kepada rakyat dan mengheret DBKL ke dalam eksperimen politik yang berisiko melemahkan governans bandar raya, sekali gus menggesa kementerian menilai semula fokus kajian dengan memberi keutamaan kepada reformasi struktur yang lebih realistik dan mampan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author