Terkini
Teo Nie Ching antara ahli politik keruhkan isu UEC – Eddin Khoo
- “Provokator itu bukan daripada kumpulan Melayu atau Dong Zong. Mereka adalah ahli politik. Salah seorang daripadanya ialah Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu daripada DAP, Teo Nie Ching.” – Bekas Pengerusi Pasukan Petugas UEC, Eddin Khoo
- Eddin mendakwa Teo telah mengeluarkan kenyataan berbeza kepada media berbahasa Cina dan media berbahasa Melayu, sekali gus mencetuskan ketegangan serta kekeliruan awam mengenai isu sebenar UEC.
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Pasukan Petugas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Eddin Khoo, mendakwa kegagalan mencari penyelesaian muktamad terhadap isu pengiktirafan UEC berpunca daripada tindakan provokatif ahli politik, bukan tekanan daripada kumpulan Melayu atau pertubuhan pendidikan Cina seperti Dong Zong.
Menurut Eddin, sepanjang proses rundingan dan libat urus pasukan petugas UEC, kewujudan provokator politik merupakan kekecewaan terbesar beliau kerana ia berulang kali menggagalkan usaha membina kefahaman bersama.
“Provokator itu bukan daripada kumpulan Melayu atau Dong Zong. Mereka adalah ahli politik. Salah seorang daripadanya ialah Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu daripada DAP, Teo Nie Ching,” katanya dalam satu klip video dimuat naik oleh letsgetit_pod di Instagram.
Eddin mendakwa Teo telah mengeluarkan kenyataan berbeza kepada media berbahasa Cina dan media berbahasa Melayu, sekali gus mencetuskan ketegangan serta kekeliruan awam mengenai isu sebenar UEC.
“Beliau menyalakan api di seluruh tempat. Berkata satu perkara kepada media Cina dan perkara lain kepada media Melayu. Ini bukan mencari penyelesaian,” dakwanya, sambil menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai manipulatif dan bersifat perkauman.
Menurut beliau, isu UEC sering disalah tafsir sebagai isu ideologi atau perkauman, sedangkan hakikatnya ia adalah isu teknikal yang memerlukan penyelesaian berasaskan dasar, khususnya berkaitan laluan kemasukan pelajar UEC ke universiti awam dan seterusnya ke perkhidmatan awam.
Eddin berkata ketika mempengerusikan pasukan petugas UEC, beliau dan pasukannya telah mengadakan pertemuan dengan 93 kumpulan serta individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk kumpulan Melayu paling keras dan pertubuhan pendidikan Cina paling ekstrem, bagi mencari titik persamaan.
Dalam masa yang sama, beliau mempertahankan kredibiliti Jawatankuasa UEC dan menegaskan bahawa penilaian akademik telah dibuat secara teliti, termasuk terhadap kandungan buku teks UEC.
“Saya telah membaca buku teks UEC, terutamanya subjek Sejarah, dan ia sangat baik,” katanya.
Eddin turut memaklumkan bahawa laporan pasukan petugas UEC yang mengandungi cadangan penyelesaian telah siap, namun masih belum diterima atau dibentangkan secara rasmi, dipercayai kerana wujudnya tentangan politik terhadap solusi yang dikemukakan. -The Merdeka Times