Connect with us

Terkini

Siasatan Skim Ponzi MBI lambat akibat operasi rentas sempadan, kompleks – Penganalisis jenayah

Published

on

Foto: Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim
  • Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, skim pelaburan palsu berasaskan struktur Piramid Ponzi itu tidak hanya beroperasi di Malaysia, malah melibatkan beberapa negara lain termasuk China, Thailand dan beberapa negara Asia.
  • Beliau menjelaskan, antara faktor utama yang melambatkan siasatan ialah penglibatan mangsa dan aset di luar negara yang memerlukan kerjasama perundangan antarabangsa.
  • Menurut beliau, ia menunjukkan sistem penguatkuasaan dan perlindungan pelabur perlu diperketatkan lagi untuk menghadapi cabaran jenayah kewangan moden yang sangat kompleks.

KUALA LUMPUR – Kelewatan siasatan dan pendakwaan melibatkan skim Ponzi Beyond Imagination (MBI) atau dikenali sebagai MBI Investment Scheme berpunca daripada kompleksiti jenayah kewangan berskala besar serta operasi rentas sempadan yang rumit, kata seorang penganalisis jenayah.

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, skim pelaburan palsu berasaskan struktur Piramid Ponzi itu tidak hanya beroperasi di Malaysia, malah melibatkan beberapa negara lain termasuk China, Thailand dan beberapa negara Asia.

Menurut beliau, skim tersebut berfungsi dengan membayar pulangan kepada pelabur awal menggunakan dana pelabur baharu, bukannya daripada keuntungan perniagaan sebenar, selain disamarkan melalui pelbagai syarikat projek dan penggunaan laporan pelaburan palsu termasuk mata wang maya.

“Skim ini bukan satu kes penipuan yang mudah, ia adalah sindiket terancang yang telah beroperasi lebih sedekad dengan struktur yang kompleks dan tidak menentu.

“Setiap lapisan perlu dihuraikan dengan teliti sebelum pendakwaan boleh dimulakan,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau menjelaskan, antara faktor utama yang melambatkan siasatan ialah penglibatan mangsa dan aset di luar negara yang memerlukan kerjasama perundangan antarabangsa.

“Antara perkara yang susah melewatkan (proses) kerana melibatkan mangsa ataupun aset di luar negara terutamanya China dan beberapa negara ASEAN atau Asia yang lain.

“Ini memerlukan kerjasama antarabangsa, serta prosedur-prosedur, ini agak menyukarkan untuk mengesan fakta bukti dan mendapatkan keputusan perundangan dari negara-negara berkaitan sebelum kes dapat dibawa ke peringkat pendakwaan,” jelasnya.

Selain itu, Shahul Hamid berkata, jenayah kewangan dan penggubahan wang haram yang terlibat dalam skim MBI melibatkan pelbagai lapisan entiti, akaun bank proksi serta struktur data yang kompleks.

“Ia melibatkan banyak lapisan entiti-entiti termasuk akaun bank perniagaan proksi yang menggunakan struktur data yang kompleks.

“Analisis forensik kewangan dan bukti yang kukuh terhadap setiap individu mengambil masa dan memerlukan siasatan yang mendalam,” tegasnya.

Mengulas persepsi masyarakat terhadap kelewatan tindakan undang-undang, beliau menegaskan bahawa proses tersebut turut melibatkan usaha pengesanan dan pemulangan aset serta kerjasama polis antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa seperti Interpol serta negara-negara lokasi utama aliran dana dan dalang skim tersebut.

Tambahnya, undang-undang sedia ada berkaitan penipuan, pelaburan dan penggubahan wang haram perlu dikemas kini, termasuk memperkenalkan undang-undang lebih spesifik bagi jenayah pelaburan digital.

“Kerajaan perlu melancarkan kempen pendidikan, kewangan dan peraturan pelaburan bagi melindungi orang ramai daripada terjerumus ke dalam skim cepat kaya atau pelaburan palsu yang disasarkan kepada golongan berisiko seperti warga emas, pekerja, serta pesara.

“Kerajaan juga perlu menyediakan saluran rasmi untuk melaporkan tawaran pelaburan mencurigakan serta menjalankan pemantauan aktif dan audit adhoc terhadap syarikat baharu,” ujarnya.

Menurut beliau, ia menunjukkan sistem penguatkuasaan dan perlindungan pelabur perlu diperketatkan lagi untuk menghadapi cabaran jenayah kewangan moden yang sangat kompleks. 

Dalam pada itu, Shahul Hamid berkata, penglibatan individu bergelar Tan Sri dan Datuk dalam skim berkenaan menunjukkan sindiket tersebut menggunakan pengaruh dan nama besar sebagai pelindung operasi haram mereka.

Beliau menegaskan selain penguatkuasaan undang-undang, pemulihan aset dan pendidikan awam perlu menjadi keutamaan kerana skim seumpama itu memberi kesan sosial dan ekonomi yang besar serta menghakis kepercayaan terhadap sistem kewangan negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author