Connect with us

Terkini

Sertai Lembaga Gaza ada Israel, Malaysia boleh dilihat tak konsisten Pro-Palestin – IRIS

Published

on

Foto: Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique.
  • Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berkata Malaysia tidak termasuk dalam Lembaga Keselamatan Gaza yang sedang dibentuk bagi mengurus hala tuju keselamatan dan bantuan berkaitan wilayah itu
  • “Sekiranya Malaysia sertai lembaga yang keahliannya termasuk Israel dan Tony Blair, maka sudah pasti rakyat akan menunjukkan kemarahan,” katanya.
  • Beliau turut mengingatkan bahawa lembaga tersebut perlu dinilai secara berhati-hati kerana komposisi keanggotaannya didakwa tidak menggambarkan kehendak rakyat Palestin, malah memperlihatkan dominasi tokoh yang disifatkan sebagai penyokong kuat Israel.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak termasuk dalam Lembaga Keselamatan Gaza yang sedang dibentuk bagi mengurus hala tuju keselamatan dan bantuan berkaitan wilayah itu, kata Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique.

Menurut beliau, setakat ini hanya empat negara Asia Tenggara dilaporkan menerima jemputan untuk menyertai lembaga berkenaan iaitu Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam, namun hanya Vietnam serta Singapura telah menyatakan persetujuan untuk menyertai.

Asyraf berpandangan, antara kebimbangan utama kerajaan Malaysia dalam isu tersebut ialah sentimen rakyat, memandangkan pendirian umum masyarakat negara ini kuat menyokong Palestin.

“Sekiranya Malaysia sertai lembaga yang keahliannya termasuk Israel dan Tony Blair, maka sudah pasti rakyat akan menunjukkan kemarahan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tindakan menyertai lembaga tersebut juga boleh menyebabkan kerajaan dilihat tidak konsisten dengan pendirian Malaysia yang selama ini jelas pro-Palestin di peringkat domestik dan antarabangsa.

Bagaimanapun, Asyraf berkata kerajaan kelihatan sedang merangka respons yang lebih pragmatik, termasuk menyeimbangkan keperluan menjaga sentimen rakyat dan pada masa sama mengurus hubungan diplomatik, khususnya dengan Amerika Syarikat.

Beliau turut mengingatkan bahawa lembaga tersebut perlu dinilai secara berhati-hati kerana komposisi keanggotaannya didakwa tidak menggambarkan kehendak rakyat Palestin, malah memperlihatkan dominasi tokoh yang disifatkan sebagai penyokong kuat Israel.

Asyraf menyenaraikan beberapa nama yang menurutnya wajar diberi perhatian termasuk Tony Blair, Jared Kushner, Marco Rubio dan Rabbi Aryeh Lightstone, yang didakwa mempunyai kecenderungan menyokong agenda Israel, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana suara rakyat Gaza benar-benar diwakili.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia perlu berhati-hati kerana bimbang negara boleh terperangkap dengan klausa bantuan yang tidak memihak kepada Palestin dan sebaliknya menguntungkan kehendak Israel.

Mengulas lanjut, beliau turut menyifatkan jemputan kepada beberapa negara Asia Tenggara juga perlu diperhalusi, khususnya melibatkan negara yang mempunyai hubungan tertentu dengan Israel, termasuk persoalan sejauh mana ia boleh berfungsi sebagai suara pengimbang dalam lembaga berkenaan.

“Berhati-hati dan membuat kajian adalah langkah tepat sebelum terlibat,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author