Terkini
(VIDEO) Kemarau makin panjang, PAAB saran standard empangan disemak
- Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, standard lama yang digunakan dalam reka bentuk empangan berasaskan amalan kejuruteraan British menetapkan empangan direka untuk bertahan sehingga 100 tahun serta menyimpan bekalan air untuk 100 hari.
- Bagaimanapun, perubahan iklim sejak sedekad lalu menyaksikan musim kemarau boleh berlarutan empat hingga enam bulan, sekaligus menjadikan standard lama itu tidak lagi memadai.
- “Dulu kemarau 100 hari, tetapi sekarang kemarau bukan 100 hari sahaja, ia boleh jadi 4, 5 bulan, 6 bulan. Jadi saya cadangkan kita tukar standard simpanan kepada 6 bulan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mencadangkan supaya Malaysia menilai semula standard reka bentuk empangan sedia ada untuk meningkatkan kapasiti simpanan air sehingga mampu bertahan enam bulan, bagi menghadapi musim kemarau yang semakin panjang akibat perubahan iklim.
Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir. Jaseni Maidinsa berkata, standard lama yang digunakan dalam reka bentuk empangan berasaskan amalan kejuruteraan British menetapkan empangan direka untuk bertahan sehingga 100 tahun serta menyimpan bekalan air untuk 100 hari.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media yang bertanyakan anggaran tempoh ketahanan bekalan air negara berdasarkan kapasiti empangan dan penggunaan semasa, sekiranya berlaku bencana kemarau atau cuaca panas yang berpanjangan.
Menurut Jaseni, sebelum ini tempoh kemarau lazimnya berlangsung sekitar 100 hari, sejajar dengan kapasiti simpanan empangan yang direka berdasarkan standard tersebut.
Bagaimanapun, katanya, perubahan iklim sejak sedekad lalu menyaksikan musim kemarau boleh berlarutan empat hingga enam bulan, sekaligus menjadikan standard lama itu tidak lagi memadai.
“Dulu kemarau 100 hari, tetapi sekarang kemarau bukan 100 hari sahaja, ia boleh jadi 4, 5 bulan, 6 bulan. Jadi saya cadangkan kita tukar standard simpanan kepada 6 bulan,” katanya.
Jaseni menjelaskan, peningkatan kapasiti simpanan empangan bukan sahaja membolehkan lebih banyak air disimpan ketika musim hujan, malah dapat membantu mengurangkan risiko banjir kerana lebihan air dapat ditampung lebih awal.
“Kita boleh simpan lebih air masa musim hujan, kita boleh kurangkan banjir dan simpan untuk musim kering yang panjang,” katanya.
Beliau turut menambah, apabila kapasiti simpanan ditingkatkan kepada enam bulan, reka bentuk empangan memerlukan kawasan tadahan yang lebih besar bagi memastikan empangan mampu mengumpul air hujan daripada kawasan lebih luas.
Dalam pada itu, Jaseni menyatakan kadar hujan purata kebelakangan ini juga menunjukkan trend peningkatan ketara, sekali gus menjadikan empangan bersaiz lama lebih mudah melimpah dan menyumbang kepada kejadian banjir.
Beliau merujuk perubahan intensiti hujan harian yang meningkat daripada sekitar 200 milimeter sehari kepada 500 milimeter sehari dalam dekad lalu.
“Kalau empangan masih ikut saiz lama, bila hujan lebih ia akan overflow dan sebabkan banjir,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perlunya pendekatan baharu dalam perancangan infrastruktur air negara, selari dengan perubahan corak iklim.
Jaseni turut memaklumkan cadangan tersebut pernah beliau kemukakan sejak bertahun lalu, termasuk ketika berada di Pulau Pinang.
Katanya, antara contoh ialah Empangan Mengkuang, yang kapasiti simpanannya dapat ditingkatkan dengan menambah ketinggian empangan bagi membolehkan lebih banyak air disimpan.
Namun, beliau menjelaskan bahawa peningkatan kapasiti melalui kaedah menaikkan struktur empangan adalah lebih sesuai untuk empangan tertentu dan lazimnya lebih mudah dilaksanakan untuk empangan baharu, berbanding empangan lama yang mempunyai kekangan teknikal.-The Merdeka Times