Terkini
Angkat martabat bahasa Melayu tanpa abai bahasa ibunda lain – Nga Kor Ming
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penguasaan bahasa Melayu yang baik merupakan tanggungjawab setiap warganegara, namun pada masa yang sama keupayaan menguasai pelbagai bahasa harus dilihat sebagai kekuatan strategik negara.
- Beliau menegaskan bahawa latar belakang pendidikannya tidak menjejaskan keupayaannya menguasai bahasa Melayu, sebaliknya, beliau fasih, yakin dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan penuh rasa bangga.
- “Saya nak tegaskan, kita perlu mengangkat martabat bahasa Melayu pada masa yang sama memperkasakan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa lain,” katanya.
KUALA LUMPUR – Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus diangkat dan diperkasa tanpa mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa-bahasa ibunda.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penguasaan bahasa Melayu yang baik merupakan tanggungjawab setiap warganegara, namun pada masa yang sama keupayaan menguasai pelbagai bahasa harus dilihat sebagai kekuatan strategik negara.
Beliau menegaskan bahawa latar belakang pendidikannya tidak menjejaskan keupayaannya menguasai bahasa Melayu, sebaliknya, beliau fasih, yakin dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan penuh rasa bangga.
“Saya anak sekolah Cina, tapi saya rasa tidak kurang daripada segi penguasaan bahasa Melayu ke tahap yang memuaskan.
“Setiap rakyat Malaysia, kita adalah arif berbahasa, petah berpidato dalam bahasa kebangsaan,” katanya dalam satu klip video yang dikongsi Roketkini di Facebook.
Tambah beliau, semangat perpaduan wajib diperkuatkan selaras dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berdaya saing di peringkat global.
“Saya yakin semangat kemalaysiaan itu wajib kita perkukuhkan bersama apabila, jangan lupa, kita kini berada di pentas global,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, kepelbagaian kaum serta bahasa adalah lambang kekuatan negara di samping mengangkat martabat bahasa Melayu.
“Saya nak tegaskan, kita perlu mengangkat martabat bahasa Melayu pada masa yang sama memperkasakan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa lain.
“Kerana kepelbagaian adalah kekuatan negara kita. Never lose up to our competitive edge. Menguasai pelbagai bahasa adalah kekuatan negara kita,” tegasnya.
Menurut beliau, usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai menolak kepelbagaian linguistik, sebaliknya perlu dilihat sebagai asas kepada pembinaan identiti nasional yang kukuh dan inklusif. – The Merdeka Times