Antarabangsa
Singapura terima undangan AS sertai Lembaga Keamanan Gaza
- Kementerian Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang keputusan akan dibuat selepas pertimbangan menyeluruh terhadap mandat dan implikasi lembaga berkenaan.
- Keanggotaan lembaga tersebut ditawarkan untuk tempoh tiga tahun dan hanya negara yang menyumbang sekurang-kurangnya AS$1 bilion akan diberikan status kerusi tetap.
- Pada Oktober tahun lalu, Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan, menegaskan bahawa Singapura tidak memohon untuk menjadi sebahagian daripada Lembaga Keamanan tersebut.
SINGAPURA – Kerajaan Singapura mengesahkan telah menerima undangan daripada Amerika Syarikat untuk menyertai sebuah badan baharu dikenali sebagai “Lembaga Keamanan” yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump, dan kini sedang meneliti perkara tersebut.
Memetik laporan MediaCorp, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, sebarang keputusan akan dibuat selepas pertimbangan menyeluruh terhadap mandat dan implikasi lembaga berkenaan.
Menurut draf piagam yang diedarkan, Lembaga Keamanan itu akan dipengerusikan oleh Presiden Trump dan melibatkan beberapa pemimpin dunia, antaranya Presiden Rusia, Vladimir Putin; Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban; serta Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.
Keanggotaan lembaga tersebut ditawarkan untuk tempoh tiga tahun dan hanya negara yang menyumbang sekurang-kurangnya AS$1 bilion akan diberikan status kerusi tetap.
Piagam itu turut menetapkan bahawa mesyuarat pengundian akan diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali, dengan setiap negara anggota mempunyai satu undi.
Namun, semua keputusan tertakluk kepada kelulusan pengerusi, selain kuasa undi pemutus yang dipegang oleh Presiden Trump sekiranya tiada kata sepakat dicapai.
Wakil Amerika Syarikat dalam lembaga berkenaan termasuk Setiausaha Negara, Marco Rubio; Utusan Khas, Steve Witkoff; serta Jared Kushner yang juga menantu Presiden Trump.
Pada peringkat awal, lembaga itu dirangka untuk memantau usaha pembinaan semula Gaza, namun piagam tersebut tidak mengehadkan skopnya kepada wilayah Palestin sahaja, sebaliknya bertujuan mempromosikan kestabilan dan keamanan di kawasan yang terjejas akibat konflik.
Cadangan penubuhan lembaga itu menerima reaksi bercampur daripada masyarakat antarabangsa. Perancis menyatakan penolakan secara terbuka dengan Menteri Luarnya menegaskan bahawa mekanisme tersebut melangkaui peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kanada pula mengumumkan tidak akan membuat sebarang sumbangan kewangan bagi menyertai lembaga tersebut sebaliknya, Maghribi dilaporkan menerima undangan untuk menjadi ahli pengasas, manakala Jerman sedang menilai kemungkinan sumbangan tanpa menjejaskan peranan PBB.
Seorang profesor ehwal antarabangsa dipetik AFP berkata, tawaran kerusi tetap dengan bayaran AS$1 bilion mencerminkan usaha Presiden Trump untuk membentuk satu alternatif kepada Majlis Keselamatan PBB, dengan kuasa veto tertumpu kepada beliau sebagai pengerusi.
Pada Oktober tahun lalu, Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan, menegaskan bahawa Singapura tidak memohon untuk menjadi sebahagian daripada Lembaga Keamanan tersebut.
Beliau menekankan pendekatan dasar luar Singapura yang bersifat pragmatik dan konstruktif, dengan prinsip “lebih banyak bertindak, kurang bercakap”, serta kesediaan menyumbang tanpa perlu memegang jawatan dalam mana-mana badan antarabangsa.
Dr. Vivian turut menyatakan bahawa Singapura akan terus memperkukuh kerjasama sedia ada dengan Penguasa Palestin dan mengekalkan pendekatan diplomasi yang tenang, berhemah serta menghormati semua pihak dalam menangani isu antarabangsa yang sensitif. – The Merdeka Times