Connect with us

Ekonomi

 IJM-Sunway: Aset strategik negara dikuasai swasta bawah kawalan individu – DPMM

Published

on

Foto: Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon
  • Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, urus niaga bernilai lebih RM11 bilion itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi awam, kerajaan serta kedudukan ekuiti Bumiputera.
  • “Kesan penggabungan Sunway–IJM terhadap kawalan ekuiti Bumiputera adalah isu yang sangat kritikal kerana ia melibatkan peralihan pemilikan daripada syarikat yang majoritinya dimiliki oleh institusi pelaburan kerajaan (GLIC) kepada sebuah konglomerat swasta yang dikawal oleh individu,” katanya

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyuarakan kebimbangan bahawa cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd berpotensi menyebabkan aset strategik negara berada di bawah penguasaan swasta, bukan lagi institusi amanah rakyat.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, urus niaga bernilai lebih RM11 bilion itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia melibatkan kepentingan ekonomi awam, kerajaan serta kedudukan ekuiti Bumiputera.

“(DPMM) memandang serius cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd dalam urus niaga bernilai lebih RM11 bilion.

“Kesan penggabungan Sunway–IJM terhadap kawalan ekuiti Bumiputera adalah isu yang sangat kritikal kerana ia melibatkan peralihan pemilikan daripada syarikat yang majoritinya dimiliki oleh institusi pelaburan kerajaan (GLIC) kepada sebuah konglomerat swasta yang dikawal oleh individu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, hampir separuh saham IJM kini dipegang oleh entiti berkaitan kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Tambahnya, IJM memiliki pelbagai aset strategik negara antaranya lebuh raya utama seperti New Pantai Expressway (NPE), Besraya, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), selain Pelabuhan Kuantan.

“Ini menimbulkan kebimbangan bahawa aset strategik negara akan berada di bawah penguasaan swasta, bukan lagi institusi amanah rakyat,” katanya.

Norsyahrin turut menegaskan, penggabungan tersebut berpotensi menghakis pencapaian sasaran peningkatan pegangan Ekuiti Bumiputera dalam syarikat awam tersenarai kerana pegangan Bumiputera dalam entiti baharu dijangka menjadi jauh lebih kecil.

“Cadangan pengambilalihan itu jika dikaji lebih teliti membabitkan kepentingan ekonomi awam, kerajaan dan Bumiputera.

“Lebih-lebih lagi IJM merekodkan keuntungan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 berjumlah RM403.4 juta dan hasil RM6.25 bilion,” ujarnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author