Terkini
JAIS arah penceroboh tanah kubur Islam PJS4 kosongkan tapak sebelum 31 Mac ini
- Pengarah JAIS, Datuk Haji Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kegagalan mengosongkan tanah perkuburan itu dalam tempoh ditetapkan akan disusuli tindakan penguatkuasaan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bersama JAIS serta agensi penguatkuasa lain.
- “Tanah Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya adalah tanah yang diwartakan di bawah JAIS di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (1965).
- “Tindakan terhadap pencerobohan di atas tanah tersebut telah pun diambil tindakan di bawah gerak kerja pemutihan pencerobohan tanah JAIS yang dilaksanakan bersama pihak pentadbir tanah daerah dan PBT,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor telah memberi tempoh sehingga 31 Mac depan bagi pengosongan tapak melibatkan pencerobohan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya, sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak terlibat.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haji Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kegagalan mengosongkan tanah perkuburan berkenaan dalam tempoh ditetapkan akan disusuli tindakan penguatkuasaan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bersama JAIS serta agensi penguatkuasa lain.
Menurut beliau, perkara itu dirujuk susulan hantaran tular di media sosial Facebook oleh pemilik akaun Aliff Ahmad pada 19 Januari 2026 bertajuk “Contoh Tanah Wakaf Orang Islam di Bawah Pengurusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang Telah Diceroboh oleh Rumah Ibadat Haram”.
“Tanah dirujuk bukanlah tanah wakaf di bawah Majlis Agama Islam Selangor. Tanah Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya adalah tanah yang diwartakan di bawah JAIS di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (1965).
“Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa tindakan terhadap pencerobohan di atas tanah tersebut telah pun diambil di bawah gerak kerja pemutihan pencerobohan tanah JAIS yang dilaksanakan bersama pihak pentadbir tanah daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Shahzihan menegaskan bahawa JAIS, MAIS dan Kerajaan Negeri akan terus menjalankan apa juga langkah yang perlu bagi memastikan pencerobohan ke atas tanah warta JAIS mahupun tanah wakaf MAIS diputihkan dengan segera dan usaha-usaha menghalang sebarang pencerobohan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS bolehlah menghubungi JAIS, MAIS, PDT ataupun PBT untuk tindakan sewajarnya oleh Pengarah JAIS selaku Pegawai Pengawal terhadap tanah warta, dan MAIS selaku pemilik tunggal tanah wakaf di Negeri Selangor,” ujarnya. – The Merdeka Times.