Terkini
Firdaus Wong buat laporan polis terhadap China Press
- Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung hari ini mengesahkan beliau telah membuat laporan polis terhadap akhbar berbahasa Cina, China Press susulan dakwaan media itu menyiarkan ‘thumbnail’ atau tajuk poster yang didakwa memesongkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kedudukan Bahasa Melayu.
- “Kegagalan untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas China Press akan membuka lebih banyak ruang kepada mana-mana media dan mana-mana individu selepas ini untuk melakukan provokasi-provokasi seperti ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung hari ini mengesahkan beliau telah membuat laporan polis terhadap akhbar berbahasa Cina, China Press susulan dakwaan media itu menyiarkan ‘thumbnail’ atau tajuk poster yang didakwa memesongkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kedudukan Bahasa Melayu.
Menurut Firdaus, ‘thumbnail’ yang dimuat naik China Press itu menulis ayat “tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia”, sedangkan titah Yang di-Pertuan Agong yang sebenar menurutnya ialah “tidak boleh terima bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia.”
Beliau menegaskan perbezaan antara dua frasa itu adalah besar kerana membawa maksud yang jauh berbeza serta boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Jauh beza di antara tidak tahu dan tidak boleh terima. Jadi saya membuat laporan polis ke atas China Press ini agar pihak polis menyiasat China Press dan mengambil tindakan yang tegas,” katanya.
Firdaus berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak siasatan menyeluruh dan tindakan tegas terhadap China Press kerana beliau bimbang kegagalan mengambil tindakan akan membuka ruang kepada mana-mana media atau individu untuk terus melakukan provokasi serupa pada masa akan datang.
“Kegagalan untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas China Press akan membuka lebih banyak ruang kepada mana-mana media dan mana-mana individu selepas ini untuk melakukan provokasi-provokasi seperti ini,” katanya.
Dalam masa sama, Firdaus menyifatkan permohonan maaf tidak memadai, malah mendakwa isu seumpama itu bukan kali pertama berlaku.
“Saya percaya sekadar meminta maaf tidak cukup… bukan sekali dua. Minta maaf dan selesai masalah tidak memadai,” katanya.
Firdaus turut menuntut supaya pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak terlibat termasuk wartawan dan editor.
Beliau turut menyuarakan pandangan agar tindakan tegas dipertimbangkan terhadap organisasi media berkenaan.
“Bukan setakat polis, juga SKMM dan jika boleh tutup sahaja China Press itu,” katanya.-The Merdeka Times