Terkini
Pengambilalihan IJM: Isu pegangan Bumiputera perlu diteliti secara berlapik
- Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak menjelaskan bahawa hakikatnya, pegangan Bumiputera dalam IJM dikawal melalui institusi pelaburan seperti dana persaraan dan amanah negara, mewakili jutaan rakyat, bukan pemilikan individu.
- “Dari sudut teknikal, pegangan Bumiputera tidak semestinya hilang, tetapi beralih bentuk, daripada pemilikan langsung dalam IJM kepada pemilikan dalam entiti gabungan yang lebih besar.
- “Namun persoalan sebenar bukan sekadar wujud atau tiada pegangan, tetapi kualiti dan pengaruh pemilikan itu sendiri, adakah institusi Bumiputera akan terus mempunyai suara bermakna dalam hala tuju korpora atau mereka sekadar menjadi pemegang saham pasif dalam struktur yang lebih tertumpu,” katanya kepada The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – Naratif bahawa pengambilalihan IJM Corp Bhd oleh Sunway Bhd akan “menghakis pegangan Bumiputera” perlu diteliti secara berlapik dan berfakta, kata Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak.
Beliau menjelaskan bahawa hakikatnya, pegangan Bumiputera dalam IJM dikawal melalui institusi pelaburan seperti dana persaraan dan amanah negara, mewakili jutaan rakyat, bukan pemilikan individu.
Menurut Dr. Mohd Fairuz, pemegang saham IJM tidak dipaksa keluar serta-merta tetapi ditawarkan pertukaran saham ke dalam Sunway.
“Dari sudut teknikal, pegangan Bumiputera tidak semestinya hilang, tetapi beralih bentuk, daripada pemilikan langsung dalam IJM kepada pemilikan dalam entiti gabungan yang lebih besar.
“Namun persoalan sebenar bukan sekadar wujud atau tiada pegangan, tetapi kualiti dan pengaruh pemilikan itu sendiri, adakah institusi Bumiputera akan terus mempunyai suara bermakna dalam hala tuju korporat atau mereka sekadar menjadi pemegang saham pasif dalam struktur yang lebih tertumpu,” katanya kepada The Merdeka Times.
Dr. Mohd Fairuz turut menjelaskan bahawa struktur tawaran yang hampir keseluruhannya berasaskan pertukaran saham adalah lazim dalam penggabungan korporat berskala besar, ia mencerminkan hasrat untuk membina nilai jangka panjang, bukan sekadar transaksi tunai jangka pendek.
“Dari sudut ekonomi, struktur ini mengurangkan tekanan aliran tunai kepada pihak pemeroleh dan mengekalkan modal dalam sistem.
“Dari sudut percukaian pula, pertukaran saham lazimnya tidak mencetuskan cukai segera, kerana tiada realisasi keuntungan tunai. Cukai hanya timbul apabila saham baharu itu dijual kelak,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa keadilan struktur ini bergantung kepada perspektif pemegang saham.
“Bagi pelabur jangka panjang seperti institusi dana persaraan, ia mungkin sejajar dengan mandat mereka tetapi bagi pemegang yang memerlukan kecairan atau ingin mengurangkan risiko pendedahan kepada satu konglomerat, struktur ini boleh dianggap mengehadkan pilihan,” tegasnya.
Dr. Mohd Fairuz berkata, sekiranya pengambilalihan berjaya sepenuhnya dan berlaku penswastaan atau penguasaan majoriti mutlak, institusi Bumiputera berdepan risiko pencairan pengaruh, walaupun nilai pelaburan mereka mungkin meningkat.
“Ini menimbulkan persoalan strategik, adakah ekonomi negara selesa apabila aset-aset besar dikendalikan oleh entiti yang semakin tertumpu, dengan ruang pengaruh institusi awam semakin mengecil?
“Isu ini bukan tentang satu syarikat, tetapi tentang hala tuju ekosistem pemilikan korporat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya menghalang transaksi pasaran yang sah dan berdaya maju, bagaimanapun, kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan urus niaga besar tidak membawa kesan sistemik yang merugikan kepentingan awam.
“Ini termasuk memastikan ketelusan penilaian dan keadilan kepada pemegang saham minoriti, kepentingan institusi awam dan dana rakyat tidak terpinggir secara struktur, dan sektor-sektor strategik negara tidak kehilangan keseimbangan pemilikan secara senyap,” menurutnya.
Beliau menegaskan bahawa cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway tidak wajar dilihat secara hitam-putih sama ada “baik” atau “buruk” kerana ia adalah cerminan realiti ekonomi moden: keperluan skala, kecekapan, dan daya saing.
“Namun dalam mengejar kecekapan korporat, Malaysia tidak boleh alpa terhadap struktur pemilikan, pengaruh institusi tempatan, dan keadilan ekonomi jangka panjang.
“Perbahasan ini seharusnya menjadi pemangkin kepada perbincangan lebih matang tentang bagaimana negara menyeimbangkan pasaran bebas dengan kepentingan nasional, kerana dalam ekonomi, yang hilang bukan selalu nilai kadangkala yang terhakis ialah kawalan dan arah tuju,” ujarnya. – The Merdeka Times