Terkini
Tapak baharu kuil Dewi Sri Pathrakaliamman sudah siap, pemindahan ikut undang-undang – Hannah Yeoh
- Dalam kenyataan hari ini, beliau menekankan langkah menyediakan tapak baharu itu bertujuan memastikan kelangsungan amalan keagamaan semua pihak di samping mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keamanan masyarakat di ibu negara.
- “Kerajaan memaklumkan bahawa pembangunan Masjid MADANI dan proses pemindahan kuil yang terlibat sedang dilaksanakan secara terancang berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama,” menurut kenyataan itu.
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan kerajaan telah menyediakan tapak baharu bagi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan menegaskan proses berkenaan dilaksanakan secara terancang, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama, seiring dengan pembangunan Masjid MADANI.
Dalam kenyataan hari ini, beliau menekankan langkah menyediakan tapak baharu itu bertujuan memastikan kelangsungan amalan keagamaan semua pihak di samping mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keamanan masyarakat di ibu negara.
“Kerajaan memaklumkan bahawa pembangunan Masjid MADANI dan proses pemindahan kuil yang terlibat sedang dilaksanakan secara terancang berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keharmonian antara agama,” menurut kenyataan itu.
Hannah turut memperincikan beberapa langkah penting yang telah diselesaikan kerajaan bagi mempercepatkan pemindahan kuil.
Menurut Hannah, kerajaan kini menyelaras pelaksanaan pemindahan di peringkat operasi melibatkan semua agensi dan pihak berkaitan menerusi satu mesyuarat penyelarasan pada 19 Januari 2026 bagi memperincikan langkah pemindahan dan pembinaan di tapak baharu.
Bagi memastikan urusan berjalan lancar, Hannah berkata kerajaan akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak, khususnya selepas Perayaan Thaipusam, demi memastikan pelaksanaan berlangsung secara teratur dan saling menghormati.
Untuk rekod, Jakel Trading sebelum ini telah memberi tempoh tujuh hari kepada pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi memindahkan struktur sedia ada dari sebidang tanah milik syarikat tekstil tersebut di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, berdasarkan notis bertarikh 13 Januari.-The Merdeka Times