Connect with us

Terkini

Soalan ‘Malaysia apartheid’ itu niat buruk, jahil – Tokoh Wartawan Negara

Published

on

Foto: Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin.
  • Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menegaskan tindakan wartawan FMT, Rex Tan yang mengemukakan soalan kepada bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway dengan membayangkan Malaysia mengamalkan apartheid adalah satu perbuatan yang disifatkannya lahir samada daripada niat buruk atau kejahilan.
  • “Jika Tan diberi didikan sejarah yang benar dan lebih berhati-hati daripada terikut-ikut dengan gembar-gembur kebebasan era Madani, dia tidak akan mengemukakan perbandingan yang salah itu. Menyamakan Malaysia termasuk Perlembagaan, dasar serta amalan negara  dengan rejim kolonial apartheid di Afrika Selatan atau dengan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin bukan sahaja satu kesilapan, malah berniat jahat,” tegasnya.

KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menegaskan tindakan wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan yang mengemukakan soalan kepada bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway dengan membayangkan Malaysia mengamalkan apartheid adalah satu perbuatan yang mengundang kecaman, selain disifatkannya lahir samada daripada niat buruk atau kejahilan.

Menurut A. Kadir, insiden itu menunjukkan bagaimana satu pertanyaan yang bersifat implikasi berat boleh mencetuskan reaksi besar sehingga membawa kesan peribadi kepada wartawan terbabit, termasuk berdepan tindakan pihak berkuasa.

“Apabila wartawan Rex Tan samada kerana niat jahat atau kejahilan, bertanya soalan yang mengimplikasikan Malaysia mengamalkan apartheid, dia sebenarnya sedang mengundang tindak balas,” katanya menerusi hantaran Facebook bertajuk Rights and privileges.

Dalam insiden tersebut, Galloway secara terbuka menolak perbandingan Malaysia dengan negara apartheid dan menyifatkannya sebagai satu perbandingan yang “malang dan memalukan”.

A. Kadir berkata, kesan daripada pertanyaan itu, wartawan berkenaan terpaksa berhadapan pelbagai masalah walaupun telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, malah media melaporkan beliau menerima kunjungan polis pada awal pagi, disoal siasat, ditahan sebelum dibebaskan berkaitan kesalahan hasutan.

Beliau turut mendakwa wartawan terbabit kehilangan pekerjaan, sementara FMT pula didakwa telah memohon maaf lebih awal sebelum wartawan itu sendiri tampil membuat permohonan maaf.

Mengulas lanjut, A. Kadir menegaskan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku sekiranya wartawan itu lebih dididik dengan sejarah dan lebih berhati-hati dalam suasana “hype kebebasan” era Madani.

“Perbandingan Malaysia – dari segi perlembagaan, dasar dan amalan negara dengan rejim apartheid di Afrika Selatan adalah satu kesilapan besar, malah bersifat jahat kerana mengelirukan fakta Sejarah,” jelas beliau.

A. Kadir menegaskan asas pembentukan negara Malaysia adalah hasil persetujuan dan rundingan antara wakil pelbagai kaum, Raja-Raja Melayu dan British, sedangkan apartheid pula merupakan pemaksaan unilateral oleh minoriti kulit putih Eropah terhadap penduduk Afrika.

“Malaysia terhasil daripada satu persetujuan yang dirundingkan. Apartheid pula adalah pemaksaan kehendak secara sebelah pihak,” katanya.

Beliau berharap insiden itu menjadi peringatan besar kepada pengamal media bahawa dalam era komunikasi pantas hari ini, satu tindakan mudah seperti bertanya soalan boleh menjadi tular dan membawa implikasi luas terhadap individu serta organisasi media.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author